Dendam orang muda


RAMAI orang muda di bawah usia 40 tahun diberi kepercayaan menjadi pegawai kanan syarikat multi nasional atau setidak-tidaknya, syarikat tempatan yang penting dan mempunyai reputasi yang tinggi.

Adakah kerana mereka ini lebih berpengalaman daripada nama-nama popular lain seperti Vincent Tan? Ananda Krishnan? Syed Mokhtar Albukhary? Tony Fernandes? Pastinya tidak.

Pengalaman orang muda ini tak akan mampu menandingi luas dan dalamnya pengalaman tokoh-tokoh tersebut.

Tetapi mengapa orang muda diberi kepercayaan memimpin dan mentadbir suatu organisasi besar yang bernilai jutaan ringgit?

Pastinya kerana integriti, profesional, kelayakan dan juga kemahiran yang dimiliki. Dan, di atas semua kelayakan ini, yang paling utama ialah, sikap orang muda itu sendiri.

Apakah sikap seorang manusia muda?

Orang muda sering dimomokkan dengan sifat “gopoh” dan “berfikiran singkat” hanya kerana sikap yang suka berterus terang dalam menerangkan idea dan keinginannya tanpa berselindung dengan retorik yang berlapis-lapis.

Dalam konteks peranan, sungguhpun bidang perniagaan atau korporat tidak banyak beza dengan politik, namun senario dalam dunia politik sememangnya lebih mencabar dan sukar.

Tetapi, kesukaran ini bukan berlegar soal berparti, beroganisasi atau berkempen dan berstrategi, sebaliknya kesukaran ini adalah apabila berhadapan dengan status quo dan hagemoni pimpinan lama.

Jika Umno menanam benih perkauman dan ketakutan di kalangan orang Melayu, begitu jugalah halnya dengan pimpinan lama yang menanam benih kesetiaan atau ketaatan (wala’) yang tak bertepi. Wala’ ini ada dalam semua parti, bukan PAS saja.

Jika Umno berselindung dengan tema Islam dan Melayu, pimpinan lama kita ini pula berselindung di balik tema prinsip. Jika ada unsur untuk mempersoalkan pimpinan oleh orang muda, kumpulan ini dianggap tidak memahami dan menentang prinsip oleh pimpinan. Pastinya orang muda ini akan “mati berdiri”.

Benih ini disemai lama hingga orang muda tumbuh menjadi takut untuk mencabar kebiasaan dan takut mencabar keberadaan. Yang akhirnya, sikap pimpinan muda tidak ada beza dengan pimpinan lama.

Orang muda diajar “masakan tiada angin, pohon boleh bergoyang”. Tetapi yang mengajar itu lupa bahawa angin tidak berhembus untuk menggoyangkan pohon, sebaliknya angin itu berhembus untuk menguji kekuatan akar pohonnya.

Orang muda juga sering dilayan sebagai “kami budak baru belajar”, dengan nasihat agar besar kelak menjadi pemimpin. Tetapi pada realitinya, mereka tidak yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan orang muda.

Ketidakyakinan ini sebenarnya tanpa sedar, menunjukkan yang mengajar itu sendiri tidak mempercayai sistem pendidikan yang pernah mereka asaskan untuk orang muda. Itu juga bermakna, mereka tidak pernah yakin dengan apa yang diajarkan kepada kita.

Orang muda perlu mengambialih pimpinan sedia ada pada hari ini. Bukan saja untuk berhadapan dengan musuh politik, tetapi untuk memastikan politik kebencian kaum, politik pecah belah dan ketamakan dapat diubah menjadi politik yang menjana kehidupan rakyat dengan menghasilkan pekerjaan untuk semua.

Orang muda harus menutup sejarah enam puluh tahun politik bangsa ini yang penuh dengan pengkhianatan. Orang muda jangan khianati cita-cita penubuhan Malaysia.

Orang muda harus membalas dendam atas semua kerosakan yang dibuat ini. Balas dendam yang terbaik adalah dengan menjadikan diri kamu lebih baik dari mereka. Sememangnya semua ini kelihatan mustahil, sampai semuanya terbukti. – 16 Mei, 2020.

* Mahdzir Ibrahim ialah AJK DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen