MB Kedah baharu dilantik hujung minggu ini, kata sumber


Zaim Ibrahim

Sumber memberitahu Pakatan Harapan Kedah tumbang dan lantikan menteri besar baharu dijangka dibuat hujung minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2020.

KEDAH bakal menyaksikan pelantikan menteri besar baharu selepas Mukhriz Mahathir sah hilang kepercayaan Adun, kata sumber.

Beberapa orang sumber yang enggan dinamakan mendedahkan hasil pertemuan dengan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini berjaya membuktikan yang Perikatan Nasional (PN) kini memegang majoriti kerusi DUN untuk membentuk kerajaan.

“PH (Pakatan Harapan) bukan lagi kerajaan. Majlis angkat sumpah menteri besar baharu boleh jadi diadakan secara kecil kecilan, secara tertutup.

“Dijangka majlis angkat sumpah pada lusa, hari  Ahad,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.

Tetapi, seorang sumber lain pula memberitahu, setakat ini tiada pengesahan PN menjadi kerajaan kerana 36 Adun menghadap Sultan secara bersendirian, tetapi beliau yakin akan berlaku perubahan pentadbiran daripada PH kepada PN di Kedah.

“Kita masuk menghadap Tuanku Sultan seorang-seorang. Tuanku tanya betul ke tak betul, hilang kepercayaan kepada menteri besar.

“Kalau ikut hasil pertemuan pagi ini mengikut, Akuan Bersumpah (SD) kita yakin jadi kerajaan. 

“Kita (PN) jadi kerajaan atau tidak bergantung kepada Tuanku Sultan Kedah  tetapi kami positiflah jadi kerajaan. Keyakinan itu ada,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu yang tidak mendapat maklumat mengenai lantikan menteri besar baharu lagi kerana Sultan masih belum membuat pengumuman rasmi.

36 Adun Kedah menghadap Sultan d Wisma Darul Aman, hari ini.

Pertemuan itu diadakan sebanyak dua sesi, sesi pagi Sultan bersama Adun PN dan petang bersama Adun PH.

Krisis pentadbiran Kedah bermula apabila dua Adun PKR Azman Nasruddin (Lunas) dan  Dr. Robert Ling Kui Ee (Sidam) mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada PN.

Tindakan itu menyebabkan PN, terdiri daripada PAS dan Umno yang mempunyai 17 kerusi bertambah kepada 19.

PH juga mempunyai 19 kerusi namun kedudukan mereka tidak stabil kerana empat Adun Bersatu menyatakan hilang percaya kepada kepimpinan Mukhriz dan menyokong PN.

Mereka ialah Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah, Langkawi) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).

Kedudukan semasa PH ialah PKR (lima kerusi), Bersatu (dua), Amanah (empat) dan DAP (dua).

Sejak PH jatuh di Putrajaya, tiga negeri juga beralih pentadbiran iaitu Johor, Melaka, dan Perak, yang mengikut jejak kerjasama politik di pusat.

Kedah bagaimanapun kekal kerana PH membentuk kerajaan dengan Bersatu walaupun bukan gabungan lagi di peringkat persekutuan. – 15 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen