PENJAWAT awam Selangor Gred 56 ke bawah akan menerima bantuan RM1,000, kata Menteri Besar Amirudin Shari, hari ini.
Bantuan itu diumumkan dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook sebentar tadi.
“Kerajaan negeri Selangor ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para penjawat awam, datuk-datuk bandar, yang dipertua majlis, pegawai daerah terutama mereka yang mengendalikan pusat-pusat kuarantin dan terlibat aktif dalam pengekangan wabak Covid-19.
“Mengambil kira pengorbanan mereka yang bekerja tanpa penat lelah ini, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan sejumlah RM1,000 secara one-off sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada semua termasuk para petugas baris hadapan dan mereka yang 24 jam bekerja di bilik gerakan Covid-19 daripada Gred 56 ke bawah,“katanya.
Amirudin berkata, turut mendapat manfaat ialah ahli Majlis Permuafakatan Kampung-Kampung (MPKK) di 371 kampung tradisi dengan pemberian berjumlah RM300 secara one-off kepada setiausaha dan AJK Biro.
“Implikasi kewangan kepada Bantuan Khas Kewangan ini berjumlah RM 18.5 juta (dan RM 1.335 juta untuk MPKK) dengan jumlah besar RM 19.835 juta yang akan mula dibayar bermula 9 Jun 2020,” katanya.
Beliau berkata, bantuan itu turut diberikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yakni Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri tidak layak menerima bantuan ini.
Tambahnya, untuk masjid seluruh Selangor, seorang nazir, dua imam, dua bilal dan dua siak akan menerima RM400 seorang secara one-off dengan implikasi kewangan sebanyak RM 1.092 juta.
Bagi surau pula, katanya, pengerusi, dua imam, seorang bilal dan seorang siak akan menerima RM300 seorang secara one-off dengan impak kewangan RM 3.079 juta. – 15 Mei, 2020.
Komen