Mercy Malaysia bantu golongan lemah jalani ujian saringan Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Pekerja warga asing beratur sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 yang dianjurkan oleh Mercy Malaysia di Ampang. Program saringan dua minggu itu diberikan kepada golongan pekerja warga asing, pelarian dan kumpulan B40. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Mei, 2020.

GOLONGAN lemah seperti pendatang asing, pelarian dan mereka daripada kumpulan Bawah 40 (B40) kini akan menjalani ujian saringan secara percuma di bawah program Covid-19 Mercy Malaysia, dalam usaha membendung penularan koronavirus.

Masyarakat ini berdepan masalah kewangan dan tidak mampu untuk menjalani ujian Covid-19 di pusat kesihatan swasta atau awam.

Dalam usaha mendekati golongan ini, sukarelawan Mercy Malaysia membuka khemah di belakang klinik Qatar Fund for Development (QFFD) Humanitarian di Ampang, Kuala Lumpur di mana mereka menjalankan ujian saringan Covid-19 untuk masyarakat berkenaan.

Program dua minggu itu bermula pada Rabu.

The Malaysian Insight dalam satu tinjauan mendapati orang ramai beratur untuk mendaftar bagi menjalani ujian keesokan harinya. Kira-kira 150 datang untuk mendaftar. Seramai 40 orang diuji pada hari pertama dan kedua dalam program itu.

Prof Dr Mohammad Iqbal Omar, seorang sukarelawan Mercy Malaysia yang juga ahli jawatankuasa eksekutif yang ada di klinik berkenaan, berkata pihaknya menjangka akan menyaring kira-kira 500 orang sepanjang tempoh dua minggu.

Program itu bertujuan untuk membantu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengisi jurang penularan, dengan menjalankan ujian terhadap kumpulan yang tidak mampu menampung kos ujian.

“Kami memfokuskan kepada masyarakat lemah seperti pendatang asing, pelarian, kerana mereka tidak dilindungi oleh Perkeso. Mereka terpaksa guna duit sendiri untuk bayar ujian, jadi mereka mungkin tidak mampu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata sebahagian pekerja warga asing bekerja dalam industri kecil dan sederhana, dan ada  majikan yang tidak mahu membayar untuk mereka, jadi ujian saringan secara percuma akan banyak membantu.

Bagi pelarian, program itu terbuka untuk mereka yang mendaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR).

“Pada masa ini kami buka untuk mereka yang berdaftar dengan UNHCR kerana ia perlu selaras dengan dasar kerajaan,” kata Dr Iqbal.

“Kalau dapat kebenaran KKM, kami sedia membuka untuk kumpulan lain tetapi sudah tentu kami perlu patut arahan ditetapkan oleh kementerian,” katanya ketika ditanya sama ada pendatang asing yang tidak ada dokumen, boleh menjalani ujian saringan menerusi program itu. – 18 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen