200 ekspatriat terkandas di luar negara akibat PKP ingin pulang


Khoo Gek San

MM2H adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, pelancongan dan meningkatkan pembangunan ekonomi dengan mendorong warga asing berpendapatan tinggi untuk menjadikan Malaysia rumah kedua mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2020.

SEKURANG-kurangnya 200 pemegang visa Malaysia My Second Home (MM2H) terkandas di luar negara ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang kemasukan warga asing masuk ke negara ini.

Pengarah MM2H Sharifah Ikhlas Syed Ismail Al-Jaffree memberitahu The Malaysian Insight, 200 orang itu sangat berharap dapat kembali ke Malaysia, sambil menambah kemungkinan lebih ramai lagi yang terperangkap di luar negara.

“Menurut rekod kami, sekitar 200 orang memohon (untuk kembali ke Malaysia), tetapi kami anggarkan lebih ramai lagi,” kata Sharifah kepada The Malaysian Insight.

Presiden Persatuan Ejen MM2H Lim Kok Sai berkata bahawa mereka yang meminta bantuan untuk pulang semula adalah antara 100 dan 200 orang, perinciannya telah disampaikan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

“Semasa fasa kedua PKP, sekitar awal April, kementerian telah bertanya tentang pemegang visa MM2H dan merek yang menyatakan hasrat untuk kembali ke Malaysia.

“Termasuklah mereka yang sekarang ini terperangkap di Singapura, Hong Kong, Jepun, dan lain-lain,” kata Lim.

Beliau berkata bahawa pemegang visa mendapat arahan yang tidak jelas daripada kerajaan yang memberi mereka keizinan untuk tinggal dalam jangka masa panjang namun kini tidak membenarkan mereka kembali.

“Mereka tertanya-tanya adakah Malaysia mahu mereka tinggal di negara ini,” kata Lim.

Beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Nasional untuk merangka prosedur bagi membolehkan pemegang visa MM2H kembali, di sampih turut menambah langkah tersebut dapati
menarik hati warga asing untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

“Sebilangan daripada mereka telah melakukan perjalanan ke Singapura atau bercuti di Jepun sebelum PKP dijalankan, atau telah pulang ke negara mereka. Namun wujud juga sebilangan yang terjejas disebabkan penerbangan mereka dibatalkan.

“Kami memahami keprihatinan kerajaan dan rakyat mengenai wabak itu, tetapi keadaan Covid-19 di Malaysia nampaknya terkawal, mereka (pemegang visa MM2H) harus dibenarkan masuk semula (ke negara ini).

“Oleh kerana kos kuarantin ditanggung oleh mereka sendiri, kerajaan harus membenarkan mereka kembali dan dikuarantin 14 hingga 20 hari.

“Pemegang visa MM2H berpendidikan tinggi, tergolong dalam golongan berpendapatan tinggi dan mempunyai banyak pengetahuan mengenai kesihatan dan kebersihan awam. Kerajaan harus mempertimbangkan ini ketika memutuskan untuk membenarkan mereka kembali,” katanya.

Lim mengatakan sejak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa perjalanan antara negeri dibenarkan bagi pasangan yang terpaksa tinggal berasingan kerana PKP, langkah serupa harus diizinkan bagi pemegang visa MM2H.

PKP dikuatkuasa pada 10 Mac untuk memutuskan rantai jangkitan koronavirus yang setakat ini telah menjangkau 6,819 kes dan membunuh 112 rakyat Malaysia.

Peraturan PKP yang ketat baru-baru ini dilonggarkan untuk membolehkan perniagaan beroperasi dengan mematuhi penjarakan sosial yang ketat.

Lim mencadangkan agar kerajaan membenarkan 50 orang dahulu dibenarkan untuk kembali, dan kemudian diikuti yang lain.

Naib Presiden Persatuan Ejen MM2H Anthony Liew berkata, kebanyakan mereka yang memohon untuk kembali ke Malaysia adalah dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.

Namun sumber lain memberitahu The Malaysian Insight bahawa ada juga daripada mereka yang berasal dari Britain, Kanada dan Australia, telah membuat permohonan serupa dan jumlah mereka adalah lebih dari 200 orang.

Pemegang visa MM2H dari China dilaporkan biasanya melibatkan orang tengah bagi memohon visa mereka, namun mereka yang berasal dari negara-negara Barat lebih suka memohon secara terus.

“Ini mungkin kerana keadaan Covid-19 di AS dan UK serius, oleh itu mereka ingin berada di Malaysia. Sebaliknya, yang dari China tidak ramai mengajukan permohonan untuk kembali,” kata Liew.

Katanya, semua orang yang mempunyai rekod kediaman dan hartanah di Malaysia mudah dikesan semasa dan setelah tempoh kuarantin mereka.

MM2H adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, pelancongan dan meningkatkan pembangunan ekonomi dengan mendorong warga asing berpendapatan tinggi untuk menjadikan Malaysia rumah kedua mereka.

Disebabkan permohonan yang diterima kerajaan adalah rendah, prosedur yang mudah dan layanan istimewa telah menarik banyak warga asing untuk memohon. – 15 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen