SEBUAH gunung berapi di kepulauan tumpuan pelancong di Indonesia, Bali melepaskan asap tebal bermeter jauhnya ke udara pada Sabtu, kata pegawai, selepas beberapa hari ribuan orang awam terpaksa dipindahkan kerana bimbang ia meletup.
Gunung Agung mengeluarkan asap setinggi 1,500 meter di puncaknya, dua kali ganda lebih tinggi berbanding asap dikeluarkan pada Selasa yang menyebabkan pemindahan besar-besaran kawasan kejiranan sekitar gunung itu.
Wujud kebimbangan yang gunung berapi itu akan meletup buat pertama kali sejak 1953 yang membunuh hampir 1,600 orang.
Mereka yang tinggal dalam jarak 7.5 kilometer dari gunung itu sudah diarahkan berpindah, kata pakar gunung berapi kanan Gede Suantika menambah yang penduduk perlu bertenang.
Kejadian ini berlaku selepas gunung berapi itu bergegar pada September memaksa 140,000 meninggalkan kawasan itu.
Sudah ramai yang kembali ke rumah selepas aktiviti gunung itu reda, tetapi asap yang baru keluar mencetuskan kembali perpindahan dan hampir 25,000 orang sudah dipindahkan ke lebih 200 pusat pemindahan sementara.
“Kita akan terus menyaksikan letupan dalam skala seperti ini, tetapi kita tidak boleh menjangka bila agaknya Gunung Agung akan benar-benar meletup,” kata Suantika kepada AFP.
Tahap amaran gunung berapi itu kekal pada tahap kedua tertinggi, tambahnya.
Bali adalah kawasan pelancongan utama dan lapangan terbangnya beroperasi seperti biasa, tetapi beberapa syarikat penerbangan sudah membatalkan penerbangan mereka.
Indonesia terletak di atas “Cincin Api” Pasifik, kawasan yang plat tektonik bertemu menyebabkan aktiviti gempa bumi dan gunung berapi kerap berlaku.
Gunung Sinabung di Sumatra- yang kini diletakkan pada tahap amaran tertinggi- sudah aktif sejak 2013. – AFP, 25 November, 2017.
Komen