PELAKON dan penyampai radio, Patrick Teoh dibebaskan dengan ikat jamin polis hari ini.
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Patrick,73, diberikan ikat jamin polis pagi tadi.
Sebelum ini, Patrick direman selama lima hari sejak 10 Mei lalu bagi membantu siasatan berhubung memuat naik kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosial Facebook miliknya.
Terdahulu, Patrick Teoh direman tiga hari bermula 10 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan dan Multimedia 1998 kerana memuat naik kenyataan jelik terhadap Tunku Ismail di laman sosial Facebook Khamis minggu lalu.
Bagaimanapun, remannya ditambah dua hari lagi hingga hari ini kerana Patrick didakwa enggan memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis.
Penahanan terhadap Patrick dilakukan selepas polis menerima laporan pada 8 Mei daripada orang awam ekoran kenyataan di Facebook milik Patrick Teoh yang bertujuan menghina dan menyakitkan hati terhadap TMJ dan Institusi Diraja Johor.
Susulan laporan itu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah membuat tangkapan terhadap suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor pada Rabu minggu lalu.
Peguam Teoh, Rajan Navaratham mengesahkan anak guamnya ditahan ketika hadir memberi kenyataan di IPD Petaling Jaya.
Menurut peguamnya itu, Teoh didakwa memainkan semula video yang disiarkan Tunku Ismail tahun lalu yang menunjukkan TMJ dan individu lain berpakaian tentera yang mengendalikan senjata.
Teoh dipercayai berkongsi video berkenaan pada Khamis lalu (7 Mei) dan menggunakan kata-kata tidak senonoh ketika dia mengulasnya di laman sosial Facebook peribadinya. – 14 Mei, 2020.
Komen