KUMPULAN pelampau Hindu di United Kingdom mengancam membakar panggung wayang sekiranya sebuah filem blockbuster Bollywood ditayangkan di negara itu, lapor media di London.
Filem berjudul Padmavati itu sebelum juga mendapat bantahan keras di serata India selepas khabar angin ia memaparkan adegan intim ratu Hindu, Padmini dengan seorang raja beragama Islam.
Pembikin filem itu menafikan dakwaan tersebut.
Pelakonnya, Deepika Padukone bagaimanapun terus menerima ugutan bunuh, termasuk ganjaran lebih kurang RM6 juta daripada pihak yang ada kaitan dengan parti politik pemerintah, BJP kepada sesiapa yang memenggal kepala Padukone dan pengarah filem, Sanjay Leela Bhansali.
Sementara itu, jurucakap BJP menafikan parti itu menawarkan ganjaran tersebut dan tindakan disiplin sedang diambil ke atas ahli parti yang membuat kenyataan itu.
Padmavati dijadual ditayang di UK mulai 1 Disember, selepas mendapat kelulusan bersih tanpa potongan dari Lembaga Klasifikasi Filem Britain (BBFC).
Kelulusan itu dibantah oleh kumpulan kebajikan Hindu di London yang merancang mengadakan bantahan aman.
Namun ada juga kumpulan yang mengugut bertindak ganas “membakar setiap pawagam yang menayangkan Padmavati” .
Sementara itu, Padukone menepis ancaman bunuh itu dengan menganggapnya sebagai sesuatu yang menghiburkan.
“Sekarang ini, sebagai wanita, artis dan warganegara (India), saya rasa marah, kecewa dan pada masa sama rasa terhibur.”
“Saya tak pernah rasa takut. Takut bukan perasaan yang ada pada saya,” tambahnya. – 25 November, 2017.
Komen