MUHYIDDIN Yassin sudah terkena “penyakit Umno” kerana cenderung melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan, kata Dr Mahathir Mohamad, merujuk pada beberapa keputusan perdana menteri sebagai presiden Bersatu.
Dr Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, mendakwa Muhyiddin melanggar perlembagaan parti kerana hendak kekal sebagai perdana menteri, selepas mengetuai pentadbiran baharu yang menggantikan Pakatan Harapan sejak Mac lalu.
“Saya dapati bahawa mungkin Muhyiddin sudah dijangkiti penyakit Umno, kerana suka membuat sesuatu yang tidak mengikut perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan video hari ini.
Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu untuk mengulas percubaan memecat beliau dari Bersatu, parti yang beliau asaskan bersama antaranya dengan Muhyiddin pada September 2016.
Dr Mahathir memberikan contoh tindakan Muhyiddin melantik Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung Bersatu menggantikan Marzuki Yahya.
Pada 26 Mac, Muhyiddin mengumumkan Marzuki bukan lagi setiausaha agung Bersatu sebaliknya sudah diganti oleh Hamzah berkuat kuasa 18 Mac.
Menurut Dr Mahathir, pelantikan Hamzah bukan saja menyalahi perlembagaan parti kerana tidak dirujuk kepada pengerusi tetapi juga bertentangan dengan dasar Bersatu terhadap bekas ahli Umno yang menyertai parti itu. – 14 Mei, 2020.
MENYUSUL
Komen