Perikatan tak yakin dapat sokongan di Dewan Rakyat, kata Anwar


Ragananthini Vethasalam

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata keputusan mengehadkan sidang Dewan Rakyat hanya untuk titah ucapan diraja tidak wajar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2020.

KEPUTUSAN mengehadkan sidang Dewan Rakyat hanya untuk titah ucapan diraja kemungkinan besar kerana Perikatan Nasional tidak yakin akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata keputusan tersebut tidak wajar memandangkan staf Dewan Rakyat telah membuat segala persiapan untuk memastikan keselamatan semua ahli Parlimen.

“Saya percaya kemungkinan besar kerana kerajaan tidak mempunyai keyakinan untuk mendapat dukungan majoriti ahli Parlimen,” katanya secara langsung menerusi bual bicara di Facebook hari ini.

Sidang Dewan Rakyat pada Isnin, 18 Mei ini dipinda hanya untuk mendengar Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong. Mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 itu juga tidak akan mendengar urusan kerajaan berhubung pakej rangsangan menangani Covid-19. 

Anwar juga berkata kemungkinan berlaku jual beli sokongan untuk mendapatkan jawatan menteri atau kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Ahli Parlimen yang ada sekarang kadang-kadang harap dapat (jadi) menteri, tak dapat lompat. Atau dapat (lantikan) GLC, tak dapat lompat. 

“Akhirnya dunia politik ini ibarat katak, bukan nilai dan prinsip,” jelas ahli Parlimen Port Dickson itu.

Anwar bagaimanapun memberi jaminan pembangkang yang diketuai Pakatan Harapan akan membantah sebarang usaha untuk mengganggu perjalanan majlis semasa Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah. – 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen