Polis sahkan terima aduan menteri agama langgar PKP


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis mengesahkan ada dua laporan dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri atas dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2020.

POLIS mengesahkan ada dua laporan dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri atas dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Satu kertas enkuiri polis sudah dibuka untuk siasatan awal sebaik laporan itu diterima, kata Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan.

“Setakat ini kami menerima dua laporan polis. Buat masa ini  rakaman percakapan pengadu sudah dibuat.

“Keterangan bagi pihak lain akan diambil setelah mendapat arahan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan sekurang-kurangnya ada lima laporan sama terhadap Zulkifli yang dibuat di Selangor, Johor, dan Kelantan, dan sebahagiannya dibuat awal bulan ini.

Laporan polis di Balai Polis Kajang, yang tular di media sosial, dibuat pada 3 Mei.

Dalam laporan berkenaan, pengadu mendakwa bekas mufti Wilayah Persekutuan itu melanggar PKP berdasarkan gambar aktivitinya sebagai menteri yang dimuat naik di laman sosial miliknya.

Laporan itu mendakwa Zulkifli tidak menjaga jarak dalam satu majlis pertukaran pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 31 Mac.

Beliau juga didakwa sekali lagi tidak menjaga jarak dalam dua mesyuarat berasingan pada 13 dan 14 April di pejabatnya di Putrajaya.

Laporan itu juga menyebut Zulkifli dilihat berada dalam satu kenduri bersama pegawainya selepas program menyampaikan bantuan kepada Orang Asli di pedalaman Terengganu.

Laporan itu mendakwa semua kegiatan yang dipaparkan di akaun Facebook menteri itu menunjukkan pelanggaran PKP. 

Malaysia melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu yang kemudian dilonggarkan secara bersyarat setakat ini sehingga 9 Jun. – 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen