DUA wanita yang didakwa terlibat dalam skandal sebuah tadika di Beijing telah ditahan, kata polis pada Sabtu, selepas kemarahan awam mencetuskan siasatan kepada semua sekolah di negara itu.
Pihak berkuasa di daerah Chaoyang, Beijing membuka siasatan ke atas tadika RYB Education New World pada Rabu selepas ibu bapa mendakwa anak mereka mempunyai tanda cucukan jarum dan diberikan pil misteri.
Agensi berita China, Xinhua mengatakan kanak-kanak juga “dilaporkan dicabul secara seksual” tetapi tidak memberikan maklumat lanjut.
Pegawai masih enggan memberikan maklumat lanjut atau mengesahkan dakwaan terhadap RYB yang diuruskan sebuah syarikat yang mula didagangkan di pasaran saham New York pada September.
Tetapi kejadian itu menyebabkan Jawatankuasa Pendidikan Majlis China, pentadbir tertinggi negara itu pada Jumaat melancarkan siasatan “serta merta” ke atas semua tadika di seluruh negara.
Seorang guru berusia 22 tahun dari daerah Hebei ditahan pada Sabtu “atas tuduhan mendera kanak-kanak di bawah jagaannya”, kata Biro Keselamatan Awam Daerah Chaoyang dalam satu kenyataan dikeluarkan di akaun media sosialnya.
Tadika itu terletak dalam kem tentera dan khabar angin bertiup kencang yang pegawai tentera di situ terlibat dalam penderaan seksual kanak-kanak itu.
Kenyataan itu turut menyebut yang seorang lagi wanita berusia 31 tahun dari Beijing turut ditahan dua hari sebelum itu kerana “menggunakan internet untuk menipu bukti dan menghebahkan berita palsu”.
Tambahnya, wanita itu meluahkan “kekesalan mendalam” kerana mereka-reka cerita yang anggota tentera daripada “Kumpulan Harimau” mendera kanak-kanak dan menghebahkan “fakta palsu” itu dalam platform media sosial terkenal China, Wechat.
Suami pengarah sekolah itu merupakan bekas pegawai kem tentera itu, kata pesuruhjaya polis kepada PLA Daily pada Jumaat, tetapi menambah yang sehingga kini “tiada bukti” yang anggota tentera terlibat dalam penderaan tersebut.
CEO RYB Shi Yinlai meminta maaf kerana kekecohan yang timbul disebabkan dakwan itu pada petang Jumaat, kata CGTN, saluran berita berbahasa Inggeris media negara itu, CCTV.
RYB Education menguruskan 80 tadika secara langsung dan mempunyai 175 francais di 130 buah bandar seluruh China untuk bayi baru lahir dan kanak-kanak berusia sehingga enam tahun, menurut fail penyenaraiannya di Nasdaq.
RYB sudah meminta maaf pada April dan menggantung ketua tadika di Beijing selepas mengaku guru-gurunya melakukan “kesilapan serius”. Beijing News mendedahkan sebuah video memaparkan guru-guru membaling kanak-kanak ke katil dan menendang mereka.
Dua guru dari tadika RYB di daerah Jilin pula dijatuhkan hukuman penjara 34 bulan kerana memukul kanak-kanak menggunakan jarum di kepala, kaki dan punggung pada Oktober 2016. –AFP, 25 November, 2017.
Komen