MUKHRIZ Mahathir menegaskan beliau masih menteri besar Kedah yang sah, sehingga kedudukannya ditentukan di Dewan Undangan Negeri.
Beliau membuat penegasan itu sehari selepas pembangkang Umno dan PAS mendakwa sudah mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu, dan empat wakil rakyat dari partinya sendiri Bersatu, mengumumkan hilang kepercayaan terhadapnya.
Mukhriz berkata pada pengetahuannya suasana politik di Kedah “masih terkawal”, dan pada pendirian majlis mesyuarat kerajaan atau exco negeri, kerajaan pimpinannya “masih wujud”.
“Tidak benar dakwaan mana-mana pihak bahawa kerajaan ini telah jatuh semalam. Ada beberapa proses termasuk melibatkan Sultan Kedah.
“Kita tidak buat keputusan berdasarkan sidang media. Kita perlu ada correspondence rasmi daripada pihak yang berautoriti.
“Kita kena patuh pada perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri Kedah,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, di Alor Setar, hari ini.
Mukhriz menambah beliau tidak boleh hendak pegang kenyataan ketua pembangkang Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS semalam kerana pada sidang media itu tiada 23 wakil rakyat yang didakwa bersama pembangkang.
“Jadi macam mana nak pastikan?” tanyanya.
Mukhriz sebelum itu mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, yang membuat beberapa keputusan antaranya mengesahkan keputusan majlis keselamatan negeri mengenai langkah-langkah mencegah dan membendung penularan Covid-19.
Tiga exco bagaimanapun tidak hadiri iaitu Adun Lunas, Azman Nasruddin yang mengumumkan keluar PKR semalam, serta dua Adun Bersatu iaitu Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan Mohd Firdaus Ahmad (Kuah).
Menurut Mukhriz, mesyuarat exco hari ini juga membuat keputusan akan mengesyorkan kepada Sultan Kedah bahawa isu sokongan kepada menteri besar perlu dipastikan melalui sidang DUN.
“Saya ingat cara itu lebih terbuka.
“Pihak pembangkang sekiranya berhasrat boleh mengusulkan undi tidak percaya terhadap menteri besar atau pihak kerajaan boleh mengemukakan usul percaya, kedua-dua cara itu sama,” katanya.
Menurut Mukhriz, usul di dewan undangan negeri lebih wajar kerana sokongan melalui akuan berkanun boleh diragui, apabila wakil rakyat berubah-ubah sokongan, seperti yang dilihat berlaku di Putrajaya pada hujung Februari lalu.
Malah, katanya, semasa beliau disahkan kekal sebagai menteri besar selepas pertukaran kerajaan di persekutuan, semua wakil rakyat Bersatu dan PH juga menandatangani akuan berkanun menyokongnya.
“Buat SD (akuan berkanun) ini bukan tak terpakai tapi sehari boleh tandatangan dua kali. Pagi sebelah sini, petang sebelah sana,” katanya.
Semalam, dua Adun PKR Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) mengumumkan mereka bukan lagi wakil rakyat parti dan Pakatan Harapan, sebaliknya menyokong Perikatan Nasional.
Pengumuman mereka tidak mengejutkan kerana diketahui umum penyokong kuat bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali yang dipecat pada hujung Februari lalu kerana dianggap mengkhianati parti dan dalang runtuhnya Pakatan di Putrajaya.
Lebih kurang dua jam selepas itu, Sanusi berkata 23 wakil rakyat hilang percaya terhadap Mukhriz sebagai menteri besar, termasuk empat dari Bersatu.
Empat Adun Bersatu itu ialah Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).
Juhari, yang juga timbalan speaker DUN Kedah, dan Firdaus mengesahkan perkara itu kepada Bernama, semalam.
Katanya, mereka bukan keluar Bersatu sebaliknya mengikut hala tuju dan arahan parti serta Presiden Muhyiddin Yassin, yang juga perdana menteri, yang tidak menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan.
Selepas perubahan kuasa di Putrajaya pada Februari lalu, Pakatan terlepas Johor, Melaka, dan Perak.
Kedah kekal di bawah pentadbiran lama kerana Pakatan menjalin kerjasama dengan Bersatu untuk membentuk kerajaan negeri walaupun bukan gabungan lagi di peringkat persekutuan. – 13 Mei, 2020.
Komen