Xenofobia anti Rohingya yang memalukan


Zainal Rashid Ahmad

PADA 12 November 2019, Gambia menggemparkan dunia apabila mengemukakan kes terhadap Myanmar di mahkamah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague, Belanda.

Kes yang difailkan Gambia amat tegas dan mendahului 192 negara lain termasuk negara-negara yang selama ini menjuarai isu kemanusiaan sejagat.

Gambia menfailkan tuduhan terhadap Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kempen pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap umat Islam Rohingya.

Motifnya, menggesa perbuatan kejam Myanmar dihentikan segera.

Gambia ini negara mana?

Gambia atau nama penuhnya Republik Islam Gambia ialah negara terkecil di barat benua Afrika. Bersempadan dengan Senegal. Luasnya hanya 10,500 kilometer (km) persegi dengan 1.7 juta penduduk. Sebagai bandingan mudah: keluasan Kedah 9,500 km persegi dengan dua juta penduduk.

Perjuangan Gambia mendapat mandat 56 ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Pemfailan kes di ICJ dilakukan bagi menuntut keadilan terhadap 2.5 juta umat Islam Rohingya.

Perjuangan Gambia tidak sia-sia. Usahanya menampakkan kejayaan selepas 10 minggu kes dikemukakan.

Pada 23 Januari lalu, ICJ memerintahkan Myanmar melindungi etnik Rohingya dan menghentikan genosid.

Keputusan ini jelas membuktikan, ICJ melihat tindakan Myanmar terhadap 2.5 juta umat Islam Rohingya sebagai genosid.

Myanmar diperintahkan ICJ mengambil langkah segera melindungi penduduk Rohingya daripada tindakan kejam termasuk pembunuhan, rogol dan rampasan tanah.

Tindakan ICJ dianggap ‘kejayaan antarabangsa’ hasil perjuangan negara kecil Afrika.

Terma Muslim Rohingya dan wujudnya istilah genosid membuktikan ICJ sudah menghalusi bukti-bukti kes.

Perintah ke atas Myanmar dibuat berdasarkan bukti dan siasatan terperinci mengikut Konvensyen 1948 PBB.

ICJ prihatin dengan nasib 2.5 juta Muslim Rohingya yang terpaksa melarikan diri ke Bangladesh (1.3 juta), Pakistan (350,000), Arab Saudi (200,000), Malaysia (150,000), UAE (50,000), India (40,000) dan Thailand (10,000).

Pada masa ini hanya 400 ribu Rohingya masih berada di Rakhine, Myanmar.

Bukti-bukti dikemukakan di ICJ berdasarkan Ops Genosid yang dilancarkan Myanmar pada 2017, walaupun genosid awal telah bermula pada 2012.

ICJ juga menerima dokuman penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran: genosid boleh berulang di Rakhine, wilayah asal Muslim Rohingya.

Kisah Rohingya dan kebencian netizen

Kita memahami kemarahan rakyat Malaysia berhubung tiga klip video yang dikaitkan dengan kenyataan biadap tiga warga Rohingya.

Video itu kini disiasat polis. Harap siasatan dan pendakwaan segera dilakukan.

Namun, tidak wajar isu kenyataan tiga suspek dalam video itu dijadikan alasan untuk melakukan tindak balas terhadap 150,000 pelarian Rohingya.

Tidak wajar netizen menzahirkan kebencian hingga mengancam keselamatan pelarian Rohingya di negara ini.

Polis akan menyiasat dan proses undang-undang akan dilaksanakan terhadap pelaku video sekiranya benar wujud provokasi yang menyinggung warga Malaysia.

Tindakan netizen anti Rohingya membakar api kebencian mampu mencetuskan keganasan apabila emosi masyarakat tidak dapat dibendung.

Secara sejarah, kita bukan bangsa pelaku kekejaman.

Terima kasih kepada 68 NGO

Pada 27 April, menyedari sentimen kebencian yang sangat berbahaya di media sosial, 68 NGO termasuk dua NGO Kristian menanda tangani surat kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Surat itu turut menggesa tindakan kempen anti Rohingya dihentikan segera.

Selain, 66 pemimpin NGO Islam, terima kasih atas sokongan dua pastor Kristian yang turut menandatangani surat desakan kepada Perdana Menteri.

Tahniah kepada Pastor Joshua Hong, President of Association of NextGen Christians of Malaysia (ANCOM) dan Jason Leong, Advisor to Association of NextGen Christians of Malaysia (ANCOM).

Surat itu turut mendedahkan, terdapat maklumat yang tidak berasas dan sengaja diputar belit oleh netizen anti Rohingya.

Malah, wujud fitnah dengan maklumat yang sengaja direka untuk menghasut rakyat Malaysia.

Malah, terdapat hantaran liar yang sangat keterlaluan mendakwa Rohingya bukan umat Islam. Malah, ada netizen yang cenderung menyokong tindakan junta tentera Myanmar membunuh dan merogol lebih sejuta Muslim Rohingya.

Persoalannya: Apakah wujud tangan ghaib dengan agenda tersembunyi dalam kempen anti Rohingya ini?

Apakah wujud jentera propaganda yang mahu membela regim junta Myanmar?

Myanmar menolak keputusan ICJ dan menafikan tindakan terhadap Muslim Rohingya sebagai jenayah genosid?

Bersabarlah Tengku Emma Zuriana

Pada 28 April 2020, aktivis hak asasi manusia Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi, membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tengku Emma mendakwa, dirinya diancam dengan ugutan rogol oleh netizen. Puncanya tetap sama, kerana peranannya sebagai Duta Malaysia untuk Majlis Rohingya.

Tengku Emma membuat laporan polis berkaitan siri ugutan atas talian yang diterimanya sejak 21 April.

Ancaman ganas ini muncul selepas Tengku Emma mendesak kerajaan membatalkan dasar menolak pelarian Rohingya yang memasuki perairan negara.

Sokongan Tengku Emma tidak disenangi pembenci Rohingya. Berulangkali aktivis ini diugut rogol.

Gerakan netizen anti Rohingya

Apabila sentimen anti Rohingya dibangkitkan secara meluas di media sosial dengan cara yang menakutkan, orang awam tidak berani membantah.

Keselamatan diri (pembulian di media sosial) punca utama simpatisan Rohingya tidak berani bersuara.

Ancaman yang diterima Tengku Emma boleh dialami sesiapa saja yang menentang idea netizen anti Rohingya.

Apalagi sekarang wujud istilah ‘tentera’ netizen Malaysia. Gerakan solidariti untuk menolak keberadaan etnik Rohingya di negara ini.

Istilah tentera netizen bukan merujuk pada individu pengguna media sosial. Dalam kes kempen anti Rohingya, ia merujuk pada tentera netizen yang bergabung di media sosial untuk membangkitkan sentimen ini.

Jangan perkecilkan keupayaan mereka. Ancaman netizen anti Rohingya sangat berkesan.

Kebencian yang ditanam akan berakhir dengan tindakan. Mereka menanam angin kebencian kerana ingin menuai badai keganasan.

Pembulian warga Rohingya 28 April

Seminggu selepas kempen anti Rohingya dilancarkan di media sosial, tular video perlakuan xenofobia pertama di negara ini.

Seorang lelaki Rohingya diganggu lelaki tempatan dengan perbuatan yang mencemar maruahnya sebagai seorang Islam.

Lelaki tempatan dalam video tular itu menuntut pemuda Rohingya bersyahadah sebagai bukti keIslaman.

Pemuda Rohingya juga dipaksa menjawab senarai waktu solat dan jumlah rakaat dalam solat. Saya teringat penghinaan polis Yahudi kepada ketika berbaris di pintu Masjidil Aqsa pada 2007.

Empat polis Yahudi lengkap beruniform serta memiliki cota dan pistol elektrik menahan saya.

Memandangkan saya pelancong dan berusia 40 tahun, empat polis Yahudi ini cuba menghalang saya memasuki Masjidil Aqsa untuk bersolat Jumaat.

Saya layak bersolat Jumaat di Masjidil Aqsa sebagai pelancong. Undang-undang hanya menghalang warga Palestin berusia dibawah 40 tahun memasuki Masjidil Aqsa.

Secara psikologi, untuk mengagalkan saya, polis Yahudi hanya perlu menyergah dan menakutkan saya.

Saya diarah bersyahadah di depan wakil Masjidil Aqsa yang dipanggil sebagai saksi. Polis Yahudi mengherdik saya. Mereka mahu syahadah saya tersilap dan gagal membaca surah Al-Fatihah.

Itu cara Yahudi. Jangan lakukan di negara ini. Melayu Islam di negara ini tidak mungkin mengamalkan akhlak buruk Yahudi Zionis.

Video xenofobia yang dimuat naik di Facebook, juga memaparkan lelaki Rohingya dimarahi kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Teguran mengenai PKP amat wajar. Namun, sikap menghamun lelaki Rohingya sebagai pelarian UNHCR sangat tidak wajar.

Dalam video 4 minit itu, lelaki Rohingya yang ditengking kelihatan kebingungan dan ketakutan.

Dia tidak faham permintaan lelaki tempatan yang menyuruhnya mengucapkan syahadah sebagai bukti keislaman.

Ancaman psikologi begini satu perbuatan xenofobia yang keterlaluan.

Di depan polis Yahudi, saya bangga dapat membuktikan diri seorang Islam.

Tetapi, saya pasti berasa terhina sekiranya ditengking seorang Islam untuk membuktikan diri saya Islam.

Kristian Eropah dan ihsan pada Muslim Syria

Saya akui tentera netizen sangat berkuasa di media sosial sekarang. Solidariti boleh menguatkan tiap entiti untuk melakukan apa saja.

Namun, jangan aniaya orang yang lemah atas alasan yang salah. Apa lagi pelarian Rohingya yang tidak berdaya.

Memang dalam banyak hal kehadiran pelarian Rohingya tidak menyelesakan kita. Tapi belajarlah bersabar.

Itali, Perancis dan Greece negara Kristian. Mereka bersabar menangani lebih sejuta pelarian Muslim Syria yang meninggalkan tanah air kerana perang.

Tanah di sempadan Perancis, pantai di Itali dan pulau-pulau sekitar Greece kini diduduki pelarian Islam.

Kalau diikutkan dendam, sejarahnya panjang. Warga Eropah wajar membenci pelarian Islam.

Sejak abad 11 hingga 13, tentera Islam berperang dengan tentera Kristian. Syria ialah pusat empayar Damsyik ketika era Salahudin Ayubi berperang melawan tentera Salib pimpinan Raja Henry.

Kini sejarah sudah berlalu. Perang Salib sudah berakhir. Walaupun sejarah perang ini amat panjang, Eropah memilih melupakannya.

Hari ini, tamadun kemanusiaan telah mengubah sikap Eropah. Mereka memilih untuk melindungi lebih sejuta pelarian Syria.

Walaupun kem pelarian sangat kotor dan warga pelarian sering mencetuskan jenayah – masyarakat Kristian Eropah tetap bersabar.

Kristian Eropah boleh saja menghalau pulang perlarian Syria dengan alasan keselamatan. Atau menggunakan alasan, kem pelarian boleh menjadi laluan penyusupan teroris.

Namun, itu tidak berlaku. Kristian Eropah membenarkan rakyat Syria menumpang sebagai pelarian perang.

Kita pun bersabarlah. Apalagi Rohingya saudara Islam.– 13 Mei, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen