Makanan, perubatan, pekerja asing keutamaan Malaysia dalam dunia pasca pandemik 


Sheridan Mahavera

Pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap banyak sektor perniagaan dan ekonomi dalam negara berikutan penguatkuasaan PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

MAKANAN, pekerja asing dan bekalan ubat-ubatan antara tiga perkara utama yang perlu difokuskan oleh Malaysia sebagai persediaan untuk menghadapi dunia yang mempunyai Covid-19, kata pakar ekonomi dan kesihatan awam.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, tiga perkara ini merupakan antara cabaran yang perlu ditangani Malaysia dalam menghadapi “normal baharu” bagi tempoh 12 bulan akan datang sehingga tiga tahun berikutan kajian sedang dijalankan untuk vaksin.

Menurut mereka, krisis itu mendedahkan kekurangan struktur ekonomi Malaysia yang sebahagian besarnya mengharapkan kepada tenaga buruh asing murah yang memberi kesan terhadap pendapatan rakyat dan memberikan masalah kepada golongan pendapatan sederhana.

Namun, pandemik itu juga memberi peluang kepada Malaysia untuk memperbaiki kekurangan, meningkatkan pendapatan terutamanya penduduk luar bandar, mengurangkan kos import makanan dan meningkatkan sara diri makanan.

Ia juga peluang untuk membuat pelaburan semula dalam infrastruktur kesihatan dan memastikan negara bergantung kepada diri sendiri apabila melibatkan pengeluaran peralatan perubatan ketika negara lain menyimpan bekalan untuk kegunaan sendiri.

“Covid-19 mendedahkan kepada masalah struktur dalam ekonomi, kebergantungan terhadap tenaga buruh asing murah dan kebergantungan kita terhadap makanan import,” kata pakar ekonomi politik Prof Edmund Terence Gomez.

Pekerja asing yang diimport oleh ribuan industri bekalan telah lama memberi kesan kepada kadar gaji warga tempatan, kata pensyarah Universiti Malaya itu.

Pekerja berkenaan juga menjadi punca mengapa syarikat dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan merasakan tidak perlu untuk meningkatkan rantaian nilai tinggi dan menjadi pengeluar sebaliknya hanya pemasang.

Gomez dan pakar ekonomi lain telah lama mahu Malaysia menyemak semula dasar pekerja asing yang mana Bank Dunia menganggarkan antara 2.96 juta dan 3.26 juta individu mempunyai dokumen perjalanan sah dan tanpa dokumen.

Beliau berkata, Putrajaya mempunyai peluang untuk menyemak semula dasar buruh dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang merupakan hala tuju lima tahun strategi pembangunan ekonominya.

“RMK-12 boleh menggabungkan penyelesaian kepada masalah struktur ekonomi kita dan memastikan kapasiti keusahawan sebenar diiktiraf,” kata Gomez kepada The Malaysian Insight.

Dalam masa yang sama, RMK-12 perlu menangani cabaran sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan, Malaysia perlu berdepan dengan dunia yang mana negara lain akan menyimpan stok makanan dan ubat-ubatan untuk kegunaan sendiri, kata Gomez.

“Kita tidak terlalu memberi perhatian kepada pertanian dan pengeluaran makanan, dan tiba masanya kita fokuskan kepada perkara ini.” – 13 Mei, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen