Ibu cetus semangat Robert Kuok labur di China


Saya milik sebuah negara membangun di Asia Tenggara. Tetapi di sana ada China, tanah asal ibu bapa dan nenek moyang saya, kata Robert Kuok dalam memoir terbarunya. – Gambar AFP, 25 November, 2017.

WALAUPUN dilahirkan di Malaysia, taikun perniagaan Robert Kuok masih mempunyai rasa tanggungjawab yang kuat untuk membangunkan China, dedah memoir terbarunya.

Dalam Robert Kuok, A Memoir, bekas raja gula Asia itu mengimbau peranan dan pengaruh ibunya, Tang Kak Ji terhadapnya dan empayar perniagaan yang diasasnya.

Memanggilnya “pengasas sebenar” empayar perniagaannya, Kuok, adik paling sulung daripada tiga beradik lelaki, mengatakan ibunya membentuk pandangannya daripada cinta sehinggalah soal pelaburan di China.

Kuok yang dilahirkan di Johor Bahru pada 6 Oktober 1923 berkata motivasi utamanya untuk berniaga di China bukanlah soal wang semata-mata.

“Saya milik sebuah negara membangun di Asia Tenggara. Tetapi di sana ada China, tanah asal ibu bapa dan nenek moyang saya. Selagi saya boleh sumbang, saya tak akan berhenti,” tulis Kuok dalam memoirnya itu.

“Semakin banyak saya dengar orang panggil China mundur, semakin saya merasakan yang kami perlu buktikan kepada dunia, satu hari nanti, China boleh maju.”

Pengaruh ibu dan Mao Zedong

Kuok berkata pengalaman pertamanya dengan orang Cina China bermula pada 1958 selepas satu urus niaga perdagangan gula dengan India dan Mitsui hampir berakhir dengan kegagalan.

Tetapi di akhirnya, ada rahmat tersembunyi kerana beliau dapat mengenali sebuah syarikat perdagangan China berpangkalan di Hong Kong, kata Kuok.

Katanya, beliau mula pergi ke tanah besar China pada 1965 dan mendapati mereka sangat mesra.

“Pada lawatan awal saya, saya merasakan orang China sangat tinggi moralnya dan sopan santun. Tak pernah saya rasa seperti orang asing.

Tetapi dibandingkan dengan lawatan awal itu, Kuok berkata China pasca Revolusi Kebudayaan pada 1970-an adalah tempat yang jauh berbeza.

“ Ada banyak karenah birokrasi yang bercampur syak wasangka hebat. Ramai pegawai tak ada pengalaman berniaga, dan mereka bimbang semua kapitalis yang datang cuba merompak kekayaan negara itu.

“Pegawai itu tak tahu bagaimana nak bangunkan perniagaan; tetapi mereka juga tak sedia untuk benarkan anda bangunkan perniagaan di sana.

Ibu beri amaran kepada saya melabur di China: “Awak masuk terlalu cepat, anakku, terlalu cepat. Awak akan temui jalan buntu. Mengapa cari susah? Paling teruk, bila awak capai sesuatu, mereka akan ambil semuanya daripada awak, dan awak tak akan ada apa-apa.”

Kuok mengatakan ibunya sangat memahami China tetapi beliau merasakan keinginan yang kuat untuk membantu memajukan negara itu.

“Saya merasakan negara itu perlu bangkit dan menyertai dunia moden. Ia lebih miskin dari Malaya ketika saya lahir. Saya rasa yang mahu membantu China dan jika mungkin, menolak negara itu untuk maju lebih pantas.

“Syukur kepada Tuhan, ada orang baik, dan paling utama ialah ada Deng Xiaoping.”

Tokoh besar perniagaan dan taikun gula itu juga menyifatkan ibunya memberi pengaruh dalam minat sepanjang hidupnya kepada “tempat lahir ibu bapa saya”.

“Ibu sentiasa ada ikatan emosi yang kuat dan mendalam kepada tanah airnya. Ya, dia sangat objektif dan kritikal terhadap semua kesalahan China, termasuklah kelemahan kerajaan ketika itu dan pemimpinnya,” kata Kuok lagi.  – 25 November, 2017.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen