Rumah di Jalan Othman, PJ diperiksa saring Covid-19


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pemeriksaan rumah dilakukan di kawasan Zon C Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya yang dikenakan PKPD bagi mengesan pesakit Covid-19. – Gambar ihsan PDRM, 12 Mei, 2020.

PASUKAN cantas yang ditubuhkan kerajaan merangkumi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis dan agensi lain memeriksa 20 rumah penduduk di kawasan Zon C Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faizal berkata hasil pemeriksaan di zon itu mendapati 16 rumah tidak berpenghuni dan empat lagi ada penghuni.

“Daripada empat unit rumah itu, tiga unit sudah disaring manakala unit keempat yang didiami tiga warga Indonesia belum menjalani saringan Covid-19 dan mereka akan disaring hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Ezanee berkata ujian saringan akan terus dilakukan setiap hari hingga semua penduduk di kawasan itu disaring yang membabitkan kediaman dan premis perniagaan dalam lingkungan 3.4 kilometer persegi.

Semalam kerajaan menubuhkan lima pusat saringan di kawasan PKPD di Pasar Jalan Othman  yang membolehkan 2,614 orang menjalani ujian Covid-19.

Setakat semalam, 509 disaring membabitkan 361 warga tempatan dan 148 bukan warga asing.

Tiga zon dalam kawasan PKPD itu adalah Zon A iaitu Jalan Penchala, Jalan 4/33, Jalan 4/37, Jalan 4/39, Jalan 4/41, Jalan 4/44, Jalan Terus 4/42, Jalan 4/43, Jalan 4/46 dan Jalan Othman 4/4D.

Zon B pula merangkumi Jalan 2/29, Jalan 2/29A, Jalan 2/27, Jalan 2/32, Jalan 2/25, Jalan 2/34, Jalan 2/26, Jalan 2/34A, Jalan 2/23, Jalan Dispensary 2/38 dan Jalan Pasar 1/21.

Sementara, Zon C pula membabitkan Jalan Selangor, Lorong 3/57D, Lorong 3/57C, Jalan Rida 3/56 dan Jalan Sentosa 3/57.

Kawasan Pasar Jalan Othman adalah lokasi baharu dikenakan PKPD bermula 10 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata perintah itu berkuat kuasa sehingga 23 Mei dan pengisytiharan itu dilakukan selepas KKM mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 di situ yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan.

“Kerajaan atas nasihat menteri kesihatan memutuskan untuk melaksanakan arahan kelapan PKPD,” kata Ismail. – 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen