PKPD Selayang berakhir hari ini


Alfian Z.M. Tahir

PKPD di Selayang berakhir hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2020.

Perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) di utara Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong KL di Selayang berakhir hari ini, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Menteri pertahanan itu bagaimanapun berkata situasi penduduk di Selayang Baru dan Gombak akan diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi.

“PKPD di utara Kuala Lumpur dan Pasar Borong KL berakhir hari ini.

“Untuk Selayang Baru dan Gombak pula, Kementerian Kesihatan perlu menjalankan beberapa saringan lagi yang mengambil masa dua tiga hari. Selepas ujian berakhir, kerajaan akan memutuskan sama ada PKPD dibatalkan atau dilanjutkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Pada 20 April lepas, Ismail Sabri mengumumkan kawasan utara Kuala Lumpur termasuk kawasan sekitar Pasar Borong KL di Selayang dikenakan PKPD.

Lapan kawasan di situ diletakkan di bawah PKPD untuk pihak berkuasa mengesan dan menjalankan ujian massa jangkitan Covid-19.

Pada 28 April, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 28 kes positif dan satu kematian daripada kluster itu.

Sejumlah 2,064 sampel diambil daripada penduduk di kawasan itu. – 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen