PKR Kedah sokong calon menteri besar PAS


Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul berkata parti itu menyokong pencalonan Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS sebagai menteri besar yang baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2020.

PKR Kedah menyokong pencalonan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS sebagai menteri besar yang baharu menggantikan Mukriz Mahathir, kata Pengerusi PKR negeri Johari Abdul.

Johari, yang juga Adun Gurun, memaklumkan pendirian partinya dalam sepucuk surat kepada Sultan Kedah, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

Surat itu bertarikh 12 Mac, iaitu tidak sampai dua minggu selepas Pakatan Harapan tumbang di Putrajaya, dan dua bulan sebelum perubahan politik sebenar berlaku di Kedah hari.

“Surat itu betul. Kerajaan sudah jatuh. Yang Berhormat Sanusi (dari PAS) lah kita ambil (jadi menteri besar)

“Hendak calonkan siapa lagi?,” katanya, ketika diminta mengulas surat berkenaan.

Surat ditujukan kepada Setiausaha Sulit Sultan Kedah MohdSafwan Mohd Khatib.

Surat itu menyebut, jika Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah membuat keputusan untuk menamakan seorang menteri besar yang baharu, PKR menyokong pencalonan Sanusi.

PKR bagaimanapun dalam mesej kepada wartawan melalui grup WhatsApp berkata surat berkenaan “palsu”.

Johari bagaimanapun dipetik menjelaskan kepada Malaysiakini surat itu adalah “cerita lama” dan tidak menggambarkan pendirian terkini parti.

“Itu cerita lama. Itu cerita bila Bersatu keluar (PH) dulu [...]

“Lepas tu kita sokong balik MB ni (Mukhriz Mahathir), selesailah,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Johari dilantik mempengerusikan PH negeri menggantikan Mukriz pada 5 Mac, selepas Bersatu keluar dari gabungan.

PH bagaimanapun dilaporkan setuju membentuk kerajaan bersama dengan Bersatu pada 27 Februari lalu, walaupun parti-parti itu bukan lagi dalam satu gabungan.

Ditanya apakah PKR tidak kecewa dengan tindakan dua wakil rakyatnya keluar parti, Johari berkata perkara itu memang sudah diketahui oleh parti. – 12 Mei, 2020.

Surat tiga perenggan bertarikh hari ini daripada PKR Kedah kepada Sultan Kedah bagi menyatakan sokongan terhadap calon menteri besar baharu. –  Gambar The Malaysian Insight, 12 Mei, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen