MENTERI Kesihatan Dr Adham Baba akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) kerana membuat dakwaan beliau terbabit dalam skandal perolehan bernilai RM30 juta, lapor Free Malaysia Today.
Peguam Dr Adham sudah mengeluarkan surat tuntutan ganti rugi RM30 juta dan berkata C4 diberikan tempoh tujuh hari untuk membayar jumlah itu dan memohon maaf secara terbuka.
Jika gagal berbuat demikian, pihak Dr Adham akan memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka.
Peguam Nasser Yusof berkata pihaknya berharap C4 akan menjawab surat tuntutan berkenaan.
“Dakwaan C4 itu adalah fitnah. Mereka memberikan gambaran yang menteri rasuah, dan ini mencemar imej baik beliau,” katanya dipetik daripada laporan itu.
Semalam, C4 berkata Dr Adham perlu memberi penjelasan sama ada beliau terbabit dalam skandal perolehan bernilai RM30 juta yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM sedang menyiasat lima syarikat yang dilantik secara langsung oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membekalkan peralatan ujian berkaitan Covid-19.
Dr Adham semalam menafikan tuduhan C4, berkata ia cubaan jahat untuk merosakkan imejnya.
Satu kenyataan dikeluarkan oleh pihaknya berkata Dr Adham tidak ada kepentingan perniagaan dalam Khazanah Jaya Sdn Bhd yang dinamakan oleh C4, atau ada hubungan dengan pemegang sahamnya. – 12 Mei, 2020.
Komen