KELAB Liga Perdana Inggeris mendapat kebenaran melengkapkan musim ketika kerajaan pada Isnin menerbitkan garis panduan yang akan menyaksikan kembalinya sukan elit di England bermula 1 Jun.
Ketika 20 kelab terkemuka Inggeris bertemu untuk perbincangan lebih lanjut mengenai projek “Restart”, menteri mengumumkan rancangan melonggarkan sekatan koronavirus.
Di bawah langkah kedua proses itu yang dijangka bermula seawal 1 Jun, acara sukan akan dibenarkan “berlangsung secara tertutup untuk siaran, sambil menghindari risiko hubungan sosial berskala besar”.
Perdana Menteri Boris Johnson berkata beliau percaya kembalinya sukan di TV akan “memberikan semangat yang sangat diperlukan kepada moral negara.”
Penyokong terpaksa menunggu lebih lama sebelum menyaksikan perlawanan, tetapi dengan garis panduan terbaru yang mengiktiraf kembalinya sukan untuk disaksikan orang ramai “mungkin hanya dapat dilakukan sepenuhnya kemudiannya bergantung kepada pengurangan jumlah jangkitan”.
Kelab Liga Perdana Inggeris merancang untuk kembali beraksi bermula 8 Jun.
Sebelum sambungan perlawanan semula dipertimbangkan, protokol perlu disepakati mengenai bagaimana untuk kembali menjalani latihan berkumpulan dengan selamat dan bagaimana Liga Perdana Inggeris akan berdepan ujian positif.
Brighton mengesahkan pada Ahad yang seorang lagi anggota pasukannya disahkan positif, menjadikan kesemuanya tiga orang.
Beberapa kes juga melibatkan pasukan di Jerman, dengan Bundesliga dijadualkan bermula semula hujung minggu ini, serta Itali, Sepanyol dan Portugal beberapa hari lalu.
“Kami sudah mewujudkan protokol dan menyemaknya. Kami sudah melantik syarikat untuk menjalankan ujian, tetapi rundingan penting dengan pemain dan pengurus adalah langkah seterusnya,” kata CEO Liga Perdana Richard Masters.
“Tiada keputusan akan dibuat sehingga kami berbincang dengan pemain dan pengurus yang dijadualkan pada akhir minggu ini.”
Pemain turut menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan kembali berlatih dan sukan yang memerlukan kontak sedangkan pada masa sama orang ramai dinasihatkan mematuhi garis panduan penjarakan sosial.
United Kingdom menjadi salah satu negara paling teruk terjejas dengan mencatatkan hampir 32,000 kematian akibat Covid-19.
“Kami juga insan biasa,” tulis pemain tengah Norwich, Todd Cantwell pada Ahad di Twitter. – AFP, 12 Mei, 2020.
Komen