1,000 warga asing ditahan dalam serbuan di Selayang


Kalidevi Mogan Kumarappa

Komuniti Rohingya antara ditahan semasa serbuan oleh pihak berkuasa di kawasan perumahan yang terletak di belakang Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Mei, 2020.

JABATAN Imigresen Malaysia menahan kira-kira 1,000 warga asing yang tidak memiliki dokumen sah di sekitar pasar borong Kuala Lumpur di Selayang dan kawasan berhampirannya.

Sumber jabatan itu berkata, pemeriksaan menyeluruh dijalankan ke atas lebih 1,200 warga asing termasuk etnik Rohingya yang bekerja dan menetap di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Buat masa ini 1,000 orang ditahan. Yang ada kad UNHCR sah sahaja dibebaskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, seorang peniaga di pasar borong itu berkata kebanyakan warga asing yang ditahan adalah warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

Pihak berkuasa melancarkan operasi pagi ini untuk menangkap pendatang tanpa izin di kawasan itu.

Sebahagian tempat ini masih di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Lebih 150 kakitangan melibatkan Jabatan Imigresen, polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi yang dimulakan kira-kira jam 6 pagi.

Sebahagian daripada mereka juga ada yang dilihat memakai sut pelindungan diri.

Peniaga diberitahu pagi ini agar menutup perniagaan mereka susulan serbuan itu, kata seorang peniaga pasar kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata operasi itu untuk menangkap pendatang tanpa izin yang bekerja di pasar.

Pada 3 Mei, kerajaan menarik balik sebahagian arahan PKPD di Pusat Bandar Utara di Selayang dan pasar borong Kuala Lumpur dengan beberapa kawasan terus ditutup sehingga 12 Mei atas nasihat KKM.

“PKPD di Parcel A dan B yang melibatkan Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, dan pasar borong Kuala Lumpur berakhir pada 3 Mei.

“Bagaimanapun, PKPD di Parcel C, D, E dan F, dilanjutkan sehingga 12 Mei, atas nasihat KKM,” kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, PKPD di Selayang Baru, Gombak, hanya ditarik balik di Parcel A dan B, sementara Parcel C, D, E dan F akan dilanjutkan sehingga 12 Mei yang juga atas nasihat KKM.

Pihak berkuasa mendapati ramai warga asing yang kebanyakan mereka bekerja di pasar, di dalam kawasan PKPD. – 11 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen