Edaran makanan di PJ Old Town berjalan lancar, kata Maria Chin


Alfian Z.M. Tahir

Anggota tentera memasang pagar kawat berduri di sekitar kawasan PJ Old Town yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2020.

MAJORITI penduduk di PJ Old Town yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sudah menerima bakul makanan mereka, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Pusingan pertama pengedaran makanan selesai semalam dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami sudah selesaikan di semua bahagian terjejas di bawah PKPD di PJ Old Town.

“Kami bekerjasama dengan JKM dan pengedaran dibuat dengan berkesan,” katanya.

Pengedaran makanan pusingan kedua mungkin akan dibuat pada akhir Mei.

Pegawainya sudah membuat kumpulan WhatsApp untuk penduduk di kawasan terlibat bagi menyalurkan sebarang aduan sepanjang tempoh PKPD sehingga 23 Mei.

“Kami berkomunikasi melalui WhatsApp. Segala cadangan atau aduan dapat dilakukan melalui medium berkenaan. Mereka juga boleh meminta jika memerlukan sesuatu yang penting,” katanya.

Seramai 2,900 penduduk terjejas selepas kawasan itu diletakkan di bawah PKPD.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata perintah itu dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan berikutan pengesanan 26 kes Covid-19 di daerah itu.

Pada 1 Mei pasar Jalan Othman di PJ Old Town ditutup sementara menunggu saringan Covid-19 ke atas semua penduduk yang berada di sana selama tempoh antara 5 hingga 18 April.

Sementara itu ditanya apakah ada keluhan daripada penduduk yang terjejas Maria berkata keadaan tidak serius seperti yang dialami oleh penduduk di Selayang yang juga berada di bawah PKPD.

“Ya ada (rungutan) kebanyakan mengenai warga emas yang tinggal di rumah sendirian tanpa dapur untuk memasak dan juga penduduk tempatan yang tidak dapat masuk ke kawasan itu kerana mereka tidak ada di rumah ketika arahan dikeluarkan.

“Semuanya sedang dibincangkan dan kita cuba untuk selesaikannya,” katanya. – 11 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen