Operasi kedai perkakasan sukar pulih selepas PKP


Angie Tan

Pemilik kedai disyaratkan melaksanakan langkah membanteras epidemik seperti mengambil suhu pelanggan dan pekerja, memakai topeng perlindungan dan mengekalkan penjarakan sosial ketika beratur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 12 Mei, 2020.

SELEPAS tutup selama lebih 50 hari, kedai menjual perkakasan kini berdepan laluan sukar untuk kembali pulih susulan hasil jualan menjuam lebih 90% akibat kesan ekonomi kerana koronavirus.

Sama seperti perniagaan lain yang bergelut untuk beroperasi semula, kedai perkakasan terpaksa menanggung kos inventori, sewa, gaji dan utiliti.

Tetapi masalah mereka bertambah kerana pelanggan terbesar – tapak pembinaan – berdepan  masalah juga dalam menyambung semula operasi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP).

Persatuan Peniaga Perkakasan dan Bahan Binaan Kuala Lumpur dan Selangor berkata 90% pelanggan mereka terdiri daripada sektor pembinaan sementara selebihnya adalah pelanggan biasa.

Peniaga juga bimbang dengan lebihan bekalan cat dan berus kerana mereka menambah bekalan bahan itu sempena sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri – di mana kebiasannya umat Islam akan mengecat rumah masing-masing.

Kedai perkakasan antara jenis perniagaan bukan penting yang dibenarkan dibuka semula pada fasa kedua PKP dari 1 April hingga 14 April.

Tetapi selepas dibuka semula, kebanyakan pelanggan mereka ialah pemilik rumah yang hendak membaiki sendiri rumah, kata pengerusi persatuan itu Chen Chiew Hong.

“Tetapi buka semula kedai lebih baik berbanding duduk di rumah. Jika tidak beroperasi, ia masih beban besar untuk membayar sewa kedai dan gaji,” kata Chen kepada Perspective Malaysia.

Beliau berkata pemilik kedai disyaratkan melaksanakan langkah membanteras epidemik itu, termasuk mengambil suhu pelanggan dan pekerja, memakai topeng perlindungan dan mengekalkan penjarakan sosial ketika beratur.

PKP selama dua minggu pada mulanya dikuatkuasakan pada 18 Mac untuk membendung penularan Covid-19, di mana setakat 8 Mei lalu, sebanyak 6,535 kes jangkitan dilaporkan dengan 107 kematian di Malaysia.

Bermula 4 Mei Putrajaya membenarkan kebanyakan perniagaan dibuka semula dengan pengecualian kepada mereka yang bergantung kepada pekerjaan membabitkan kontak fizikal rapat dan tempat ramai orang. – 12 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen