Syarat masuk ke MRSM tidak berubah, kata Mara


MARA tidak akan melonggarkan syarat kemasukan ke Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) susulan format baru keputusan penilaian sekolah rendah yang diumumkan mulai tahun ini, lapor The New Straits Times.

Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah Mara Kamaruzaman Jaffar berkata Mara tidak akan menggunakan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) untuk memilih pelajar Tingkatan Satu, seperti Kementerian Pendidikan mengambil pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP) tahun depan.

Sebaliknya kata beliau, Mara akan tetap menggunakan “formula sudah teruji” yang mengutamakan keputusan akademik bagi mendapat tempat di mana-mana MRSM di seluruh negara.

“PPSR bukan sebahagian syarat kemasukan ke MRSM. Selagi tiada pengumuman daripada Kementerian Pendidikan tentang perubahan syarat kemasukan MRSM, ia masih status quo,” kata Kamaruzaman, seperti dipetik oleh NST.

Beliau berkata keputusan minimum UPSR yang akan dipertimbangkan ialah 3A dan 3B bagi murid Semenanjung Malaysia dan 3A 2B 1C bagi murid di Sabah dan Sarawak.

Mara yang mengendalikan MRSM adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) manakala SBP di bawah Kementerian Pendidikan.

PPSR yang diumumkan Khamis lepas mengandungi empat perkara iaitu pentaksiran bilik darjah, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran psikometrik dan keputusan UPSR.

Ketua Pengarah Pelajaran Dr Amin Senin ketika menjelaskan format baharu itu berkata, kecemerlangan murid kini tidak lagi dilihat hanya berdasarkan keputusan peperiksaan sebaliknya pencapaian mereka secara menyeluruh sebagai insan.

Berikutan pelaksanaan PPSR, kemasukan ke SBP bukan lagi meletakkan keputusan akademik sebagai syarat utama tetapi turut melibatkan kriteria lain selain perlu menduduki peperiksaan khas.

“Tidak semestinya dapat semua A dapat ke SBP. Dua A pun boleh. Tiada A pun boleh,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Syarat kemasukan ke MRSM kini ialah memperoleh keputusan 6A dalam UPSR, aktif kegiatan kokurikulum, memiliki sikap diri yang positif dan mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Iklan di laman web Mara baru-baru ini juga menyatakan keutamaan diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar dan bandar.

Permohonan ke Tingkatan Satu di MRSM ditutup pada 31 Oktober lepas dan calon kini sedang menerima panggilan untuk menghadiri sesi ujian kelayakan dan temu duga bermula awal Disember.

MRSM menawarkan lima program termasuk aliran agama, aliran Bahasa Inggeris melalui peperiksaan Cambridge IGCSE dan International Baccalaureate Middle Year Program (IB MYP) dan aliran teknikal. – 25 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen