Perikatan Nasional: Retak menanti belah


SUNGGUH hairan sekali. Tatkala Pakatan Harapan (PH) tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negara, masih ada kelompok yang galak menuding jari kepada DAP, salah satu parti komponen PH, sebagai punca sebarang satu permasalahan negara ini. 

Seolah-olah PH masih memerintah negara ketika ini. 

Fitnah di jendela-jendela WhatsApp dan Telegram berleluasa dengan teori-teori konspirasi yang umum tahu tidak berasas.

Tidak lupa juga laman-laman media sosial milik sesetengah pihak yang mencanangkan komplot bayangan rampasan kuasa terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Serangan demi serangan ditujukan kepada DAP, termasuklah baru-baru ini kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang oleh Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali. 

Jelas sekali tindakan menteri di Twitter itu merupakan cubaan untuk menutup kelemahan beliau sendiri dalam kepincangan pengurusan dan koordinasi industri di saat dan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin bersungguh-sungguh mahu membuka semula ekonomi negara. 

Mujur sekali, rata-rata masyarakat Malaysia tidak mudah termakan muslihat ini. 

Bahkan, kebanyakan serangan yang disebut di atas adalah cubaan terdesak pendokong PN untuk menutup pekung di dada mereka. Sekadar penyedap hati masing-masing.

Hakikatnya, gabungan PN di kala ini ibarat retak menanti belah. Mereka sedang dirundung seribu macam masalah yang boleh membahayakan kelangsungan politik mereka: 

Baru-baru ini, Majlis Tertinggi Umno menolak cadangan penubuhan PN.

Hal ini juga adalah rentetan kenyataan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, sendiri yang menafikan penyertaan Umno ke dalam PN.

Beliau turut menyatakan PN bukanlah sebuah badan yang sah kerana tidak berdaftar.

Cadangan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir supaya parti itu kembali ke pangkuan PH dan juga keputusan sayap Pemuda Bersatu (Armada) menolak kerjasama dengan Umno.

Pelawaan anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman kepada Muhyiddin untuk menyertai parti Umno supaya beliau kekal menjadi perdana menteri.

Ini hanyalah secebis daripada sebilangan contoh pergeseran antara anggota-anggota PN. Lebih banyak lagi yang kita boleh lihat daripada laporan berita setiap hari. 

Ternyata, tiada faktor luaran atau langkah hotel mewah yang sedang diatur oleh seteru politik PN. Tiada pihak luar yang mencetuskan mencetuskan perbalahan ini. Malah ini semua terjadi kerana persaingan dalaman mereka sendiri. 

Mungkin Muhyiddin rasa beliau boleh mendamaikan pergeseran-pergeseran ini dengan membuat lantikan politik semata-mata. 

Maklumlah, saban hari, ada sahaja ahli politik PN yang dilantik memegang jawatan di syarikat berkaitan kerajaan atau badan berkanun.

Namun, ketidakpuasan akar umbi mereka sedang membuak-buak. 

Taburlah sebanyak mana pun habuan politik kepada golongan yang berselisih ini. Lambat-laun ia tidak akan dapat menampal retak-retak gabungan rapuh PN yang semakin terserlah. – 10 Mei 2020.

* Iskandar Fareez, bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Kebangsaan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen