Masa anak muda memimpin Pakatan


KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) tidak sempat menyambut ulang tahun ke-2 sebagai kerajaan. Hanya 22 bulan sahaja sempat memerintah; kuasanya tercicir di tengah jalan. Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. 

Tragedi ini sama bersejarah dengan kejayaan mengambil alih kuasa pemerintahan dengan proses yang aman daripada Umno-Barisan Nasional (BN) yang berkuasa selama enam dekad di Malaysia.

Kita juga menempa sejarah kerana melantik seorang perdana menteri tertua di dunia ketika itu. 

Sungguhpun PH sebuah gabungan politik yang muda, namun ia bukanlah parti parti politik yang setahun jagung.

PH dipimpin oleh mereka yang arif dan berpengalaman luas dalam politik. Namun, pengalaman yang dikira sangat berharga ini rupa-rupanya tidak memadai untuk menjadi sebuah kerajaan yang stabil.

Pengalaman yang luas ini juga rupanya mendatangkan masalah kepada kerajaan baharu.

Ada yang merasakan pengalaman mereka lebih betul daripada pemimpin yang lain. Yang pernah menjadi kerajaan pembangkang, berasa mereka betul sebab masih mendapat sokongan rakyat. 

Mereka yang berpengalaman ini berjaya mengurus peralihan kuasa antara kerajaan, tetapi gagal mengurus peralihan kuasa antara sesama sendiri. Kacau-bilau ini dilihat oleh rakyat dan kita semua dengan penuh sabar. 

Kita, orang muda, tak berupaya untuk bersuara menegur masalah ini. Bukan sahaja kerana segan dengan orang tua yang banyak pengalaman, malah darjat “orang tua” itu sendiri menjadikan kita lebih serba salah. 

Orang muda takut menegur, takut ditafsir sebagai derhaka kepada orang tua, takut dilihat memandai-mandai. Budaya Melayu meletakkan darjat ‘“orang tua” sangat tinggi dalam masyarakat.

Pada masa sama, orang muda bimbang dengan masa depan politik mereka jika pandai-pandai nak menegur orang tua, takut-takut kena pancung dan tak dapat bertanding lagi pada masa hadapan. Gelaplah masa depan politik mereka yang masih muda. Inilah dilemanya.

Saya masih ingat, beberapa hari selepas kerajaan Umno BN tumbang, Khairy Jamaluddin menzahirkan kekesalan beliau kerana diam dan tidak menegur pimpinan “tua” Umno tentang rungutan orang muda dan rakyat ketika mereka berkuasa. 

Namun hari ini, ada orang muda yang percaya, kepimpinan politik itu mesti dalam kalangan orang tua. Mereka tak yakin dengan fikrah dan kebijaksanaan orang muda dari golongan mereka sendiri. 

Bakat-bakat muda seperti Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Amirudin Shari, Anthony Loke termasuk Khairy daripada Umno, semuanya berkebolehan. 

Tetapi, perlu menunggu usia tua untuk memimpin parti dan negara. Lebih tepat lagi, perlu tunggu sehingga pemimpin tua menjadi arwah atau mendiang.

Faktor hujah pengalaman ini saya kira sangat subjektif. Lim Guan Eng pernah sebut ketika baru memerintah Pulau Pinang: “Memang kami tiada pengalaman memerintah kerajaan. Tetapi kami juga tiada pengalaman melakukan korupsi atau rasuah”. 

Bukan nak kata orang tua saja yang kuat rasuah, tetapi itulah gambaran tentang persoalan pengalaman – sangat subjektif; ada pro dan kontranya.

Saya juga tak kata jika orang muda yang memimpin, maka semua masalah akan selesai. 

Tetapi saya yakin, apabila orang muda yang memimpin parti dan negara, mereka akan berlumba-lumba melaksanakan pembaharuan atau menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya. 

Pidato Sukarno yang terkenal: “Berikan aku seribu orang tua, niscaya akan kucabut Semeru dan akarnya. Berikan aku sepuluh pemuda, niscaya akan kuguncang dunia”.

Inilah masa orang muda tentukan sendiri masa depan mereka. 

Mulakan dengan mengambil alih pimpinan parti masing-masing. Buat kerja ini terang-terangan, tak perlu buat sembunyi-sembunyi macam orang tua. 

Memang kerja ini tak mudah, tapi boleh. – 10 Mei, 2020.

* Mahdzir Ibrahim, AJK DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen