Amuk Mat Samseng dua tahun selepas PRU14


Zainal Rashid Ahmad

SEMALAM 9 Mei, genap dua tahun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlalu. Hari ini, 10 Mei masih jelas dalam ingatan, betapa berdebarnya menunggu detik Dr Mahathir Mohamad mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengangkat sumpah perdana menteri ketujuh.

PRU 14 sangat dramatik. Selain kejutan Barisan Nasional (BN) tumbang tanpa dijangka, wujud ketegangan mengenai hubungan istana dan pelantikan Dr Mahathir mengetuai kerajaan baharu.

Rakyat gelisah dan marah kerana istana dilihat cuba campur tangan dan melengahkan proses peralihan kuasa kerajaan daripada BN ke Pakatan Harapan (PH).

Pada waktu itu dengan kombinasi PKR 47 kerusi, DAP 42, Bersatu 13, Amanah 11 serta sokongan 8 kerusi Parti Warisan Sabah, PH memperolehi majoriti 121 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Pada 10 Mei, BN dan Umno yang kalah teruk masih berusaha mencari jalan untuk kekal berkuasa. Namun, gagal menemukan rakan gandingan. Malah, protes anti Najib Razak menyemarak hingga mantan PM keenam itu melepaskan jawatan presiden Umno.

Walaupun rakyat yakin BN sukar menang PRU 14 kerana diselubungi skandal 1MDB, namun kekalahan teruk dan hanya menang di Perlis dan Pahang, satu kejutan.

“Tu dia… baru hangpa tau penangan rakyat kalau dah menyampah dengan kerajaan yang penuh rasuah,” kata Mat Samseng dalam grup WhatsApp geng Anak Kedah@KL.

Mat Samseng bekas penyokong Umno totok sejak berusia 21 tahun dan mula mengundi pada 1999. Siapa berani sembarangan mengutuk Umno di meja kopi pada PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013?

Kalau dia muncul di warung Taman Tenaga di Cheras atau di Taman Tun Hussein Onn, samseng anak Kedah ini sanggup hayun penumbuk pertahankan Umno.

Cuma, dia tiba-tiba seperti wakil rakyat PH ketika PRU14. Kerap berkempen di Titiwangsa dan sesekali di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak; jiwanya sudah merah bunga raya.

Mat Samseng berasa berbaloi turun beraksi ala wakil rakyat dan berkempen calon parti Bersatu.

Malah, segala celaan marahnya pada Umno sebagai parti rasuah dan kleptokrasi, buat kami tidak tahan mendengarnya.

“Ini bala Allah, cash,” sindirnya.

Malah, berbulan-bulan maki-hamun itu kedengaran walaupun Umno sudah hampir lingkup selepas wakil rakyatnya menyeberang ke PH.

Tidak lama kemudian, Mat Samseng pun menghilang. Barangkali sibuk menguruskan restoran dan syarikat kontrak kecil pendawaian elektrik.

Malah, keadaan ekonomi yang kekal teruk selepas PH berkuasa, serta perbalahan perkauman yang makin teruk sesama parti komponen, antara punca Mat Samseng mendiam diri.

Dia pun berasa malu sendiri sebab PH tidak menjadi parti sehebat manifesto yang dijanjikan.

Mat Samseng makan hati

Rasanya Mat Samseng pun segan nak laung ucapan-ucapan semangat di meja kopi sejak PH berantakan.

Kata-kata bangganya yang kerap dilaungkan dulu, kini sudah macam “makan tuan”.

“Aku tak peduli parti mana, toksah cakap wakil bangsa atau apa agama. La masa nak hapuskan rasuah!”

Enam bulan selepas kerajaan PH berkuasa, realitinya rakyat mula sebal dan menyampah. Krisis perkauman berleluasa dalam parti gabungan yang mendakwa kononnya pelopor Malaysia Baharu.

Rakyat juga mula menyampah dengan barisan menteri “kurang cerdik” dalam Kabinet Dr Mahathir. 

Malah, Mat Samseng juga mungkin malu apabila melihat kerajaan PH selepas enam bulan berkuasa – tetap politik dua kali lima dengan BN yang pernah dikutuknya.

PH sentiasa tegang dengan politiking. Ekonomi pada era PH keadaan makin tenat dan bercelaru.

Krisis politik perkauman Melayu Cina lebih teruk daripada kes Low Yat pada 2016.

Selama 22 bulan di bawah PH, banyak masa dihabiskan dengan perdebatan isu perkauman dan tekanan perebutan kuasa menjadi PM.

Mat Samseng dan politik perut

Rakyat macam Mat Samseng bukan broker kuasa. Mereka bukan orang yang naik turun pejabat wakil rakyat atau menteri meminta tandatangan projek.

Penyokong “grassroot” hidup dengan mencari makan menggunakan kederat sendiri. Bukan proksi yang masuk politik dengan niat mencekau duit sebagai upah mencari undi.

Keadaan ekonomi yang memburuk dan bisnes yang menekan rakan-rakan peniaga di sekitar KL membuatkan semua yang tersepit mula bekerja-keras.

Masa bergebang di kedai kopi sudah dirampas budaya kerja “part time” bawa e-hailing. Ramai kawan mengelak kedai kopi kerana kocek makin tipis dan dipenuhi duit syiling.

Walaupun samseng, Mat bukan penyamun dan kaki “paw”. Sebagai anak Pekan Rabu, Alor Setar, dia merantau mencari rezeki dengan berniaga.

Cuma, kami beri gelaran samseng kerana sikap kepala angin dan tangannya yang ringan melibas penampar.

Elok digelar Mat Samseng. Kalau sebut nama sebenar, orangnya dikenali sebagai “nama besar” dalam dunia bergaduh di Kuala Lumpur.

PRU14 yang genap dua tahun semalam meninggalkan kesan politik yang besar. Bahawa, Malaysia Baharu yang diperjuangkan PH ketika berkempen turut ada pesona sampai mendapat sokongan samseng.

Apa pun, selepas enam bulan PH berkuasa, Mat Samseng pun hilang dari radar.

Mat Samseng naik darah

Apabila krisis politik pada Februari lalu berlaku, Mat Samseng muncul kembali. Perangai kepala angin dan panas barannya sekali lagi buat kami menyampah.

Mat Samseng sangat marah apabila krisis perpecahan PH menyebabkan politik negara jadi huru-hara. Ketika itu, imej Mat Samseng bukan lagi sebagai penyokong PH.

Marahnya bernada suara rakyat yang *politik perutnya” terjejas.

“Celaka semua. Aku tak tau apa nak jadi dengan politik Melayu. Habis haru-biru. Memang barua semua,” makinya.

Mat Samseng hanya satu daripada jutaan pengundi yang kecewa. Bukan soal politiking. Tetapi pengundi yang marah kerana wakil rakyat menjual undi mereka untuk melompat ke sana-sini.

Pada Februari itu, kami sangat terganggu dengan kemunculan Mat Samseng dengan maki hamunnya kepada pemimpin PH.

Hmmm… jadi menyampah pun ada. Cuma, kalau disanggah cakapnya, boleh bawa bertumbuk pula.

Hancur hati Mat Samseng akibat kejatuhan PH boleh difahami. Bukan saja geng samseng yang kecewa, orang cerdik mengaji tinggi pun geleng kepala melihat ragam politik Malaysia.

Akhirnya, rakyat menyimpan anggapan: “PRU14 hanya melahirkan politik jual beli kuasa. PRU yang melahirkan banyak pemimpin yang rendah kualiti jiwa rakyatnya.”

Bertemu Mat Samseng selepas tujuh minggu

Berikutan pandemik Covid-19 dan berkurung tujuh minggu, pada malam Jumaat lalu, kami bertemu Mat Samseng bersama tiga lagi kawan rapat.

Selain niat berbuka puasa, kami mengedarkan wang bantuan bagi kepada beberapa kawan peniaga yang terpaksa berpindah kerana rugi berniaga.

Selepas 20 hingga 30 tahun berniaga di sekitar Chow Kit, kawan-kawan yang rapat terpaksa berpindah ke Setor Lima di Gombak.

Krisis kewangan menyebabkan mereka tidak mampu membayar sewa. Kos premis antara RM2 ribu ke RM3 ribu sebulan kini jadi beban.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan rakan-rakan peniaga kecil kehilangan sumber rezeki. Tanpa sesen pun pendapatan selama dua bulan, sewa kedai dan segala macam bil mulai tertunggak.

“Inilah bala kirafah politik kita. Ada kuasa buat khianat. Semua fikir tembolok sendiri dan bukan nasib rakyat,” kata Mat Samseng.

Kami mendengar saja. Sejak Februari, kami adalah rakyat yg sudah diletihkan politik. Sudah berhenti bercakap soal politik.

Sekarang, realiti sebenar ialah berdepan bisnes yang hampir gulung tikar dan ekonomi yang tidak menjanjikan harapan.

“Allah balas dengan kifarah dan kita muhasabah. Tapi, aku rasa orang politik takkan serik,” sindirnya.

Kami mendengar nada sinisnya. Malah, kami menyedari realitinya.

Sesuatu sedang berlaku. Ada Covid politik dalam Covid-19. Namun, rakyat lebih menderita akibat Covid ekonomi.

Akhirnya, berbalik pada kita jaga kita. β€“ 10 Mei 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen