Serangan di masjid, presiden Mesir ikrar lawan balik


Orang ramai membawa mangsa serangan bom di masjid Rawda di Mesir untuk mendapatkan rawatan. Penyerang bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 235 jemaah dengan bom dan tembakan. – Gambar AFP, 25 November, 2017.

PRESIDEN Mesir Abdel Fattah al-Sisi berikrar untuk mengambil tindakan keras terhadap kumpulan militan yang menyebabkan kematian 235 orang di masjid di wilayah Sinai Utara, di Kaherah.

“Tentera dan polis akan membalas dendam bagi pihak mangsa yang mati syahid dan mengembalikan keselamatan serta kestabilan berkuat kuasa serta-merta,” katanya ketika berucap menerusi siaran televisyen tempatan.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengutuk serangan itu sebagai “mengerikan dan perbuatan pengecut”.

“Dunia tidak boleh bertoleransi dengan keganasan, kita perlu kalahkan mereka menggunakan tentera dan hapuskan ideologi ekstremis yang membentuk asas kewujudan mereka,” katanya di Twitter.

Letupan bom menghancurkan masjid Rawda, dan kemudiannya penyerang bersenjata menembak jemaah yang bertempiaran lari.

Media melaporkan setakat ini jumlah kematian 235 orang. Masjid itu yang terletak 40km barat utara Sinai di El-Aris, sering dikunjungi masyarakat berfahaman Sufi, yang dianggap sebagai penyelewengan agama oleh kumpulan IS. – AFP, 25 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen