SERAMAI 16 orang cedera akibat panik dalam insiden yang disangka ancaman pengganas di tempat tumpuan pelancong berhampiran Oxford Street di London, semalam.
Polis dikerah ke lokasi selepas terdapat laporan tembakan dilepaskan namun tidak menemui sebarang kesan suspek, tembakan atau kemalangan jiwa di kawasan terbabit selepas menutupnya selama lebih sejam.
Pihak berkuasa pada mulanya bertindak selepas menerima laporan tembakan di Oxford Circus dan stesen bawah tanahnya “insiden itu seperti ada kaitan dengan pengganas”.
Polis kemudian berkata tiada sebarang bukti ditemui menunjukkan berlakunya insiden dan menghantar tweet: “Tindak balas kami di #OxfordStreet sudah dihentikan.”
Stesen Oxford Circus dan Bond Street yang sebelum ini ditutup susulan kekecohan itu juga sudah dibuka semula dan beroperasi seperti biasa. – AFP, 25 November, 2017.
Komen