Demi rakyat


ENTAH apa sebabnya dirasakan paluan gendang pilihan raya sudah bergema. Maka terdengar nama rakyat atau atas nama rakyat dikumandangkan.

Pilihan raya adalah pesta demokrasi ketika rakyat sebagai pemegang kekuasaan tertinggi kembali dipertaruhkan. Nama rakyat akan disebut, dibicara, ditulis, ditampil, diceritakan, dinarasi, di ruang-ruang komunikasi dan pentas politik.

Perkataan rakyat akan dizikir, ditasbih, diulang-ulangi bagaikan sebutan nama Allah dalam solat. Pelbagai bentuk berita, cerita, rencana, wawasan dan program yang diwacanakan melalui berona komunikasi politik, semuanya disampaikan ”atas nama rakyat”.

Rakyat kini menjadi figura induk dalam retorik politik.

Walaupun nama ”rakyat” sering dikumat-kamitkan dalam setiap pesta pilihan raya, jangan cepat melatah kerana ia bukan sesuatu secara substansial yang menunjukkan peranan utama rakyat dalam proses pilihan raya.

Kata ”rakyat” akan dieksploitasi dalam pelbagai wacana dan retorik politik tetapi kewujudan mereka akan dikerdilkan kerana rakyat dalam sistem demokrasi mutakhir disimpulkan menjadi sekadar ”pengguna” dari produk ”kapitalisme politik” dalam ruang pilihan raya yang telah dirumuskan menjadi pasaran politik.

Dalam situasi kapitalisasi politik ketika modal, wang dan material menjadi kekuatan utama politik – kekuasaan rakyat yang menjadi inti pati demokrasi dan pilihan raya seolah-olah dilucuti kedaulatan dan kini jadi sasaran pemasaran politik, yang dieksploitasi suara mereka.

Pesta pilihan raya kini bukan bermakna pertarungan politik ”demi rakyat”, melainkan ”demi suara rakyat”.

Demokrasi yang secara genealogis bermaksud “kuasa di tangan rakyat” tetapi tidak mungkin dapat direalisasikan dalam sistem negara moden, ketika ”rakyat” hadir dalam jumlah yang masif atau sangat besar.

Oleh itu demokrasi melalui perwakilan penyelesaiannya di mana kuasa rakyat diwakilkan kepada individu yang dipilih oleh rakyat.

Perwakilan daripada rakyat kepada individu ini sering menimbulkan masalah amanah dan tidak diwakili walaupun dipangkah dalam kertas undi namun mewujudkan ”jarak” antara rakyat dan individu yang mewakili mereka. Jumlah rakyat yang melaut tidak mungkin untuk mereka berkuasa.

Oleh itu nama “people’s power” atau kuasa rakyat sesungguhnya adalah “nama yang bukan nama”, nama tanpa realiti kerana pemilik kekuasaan hakiki adalah seseorang individu atau ”sekelompok kecil manusia” yang dipilih rakyat.

Secara terperincinya ”kekuasaan di tangan rakyat” menjadi ”kekuasaan di tangan sesiapa pun” (rule by anyone) yang mereka pilih untuk diwakilkan.

Oleh itu demokrasi tiada beza dengan oligarki kerana kekuasaan dipegang oleh sekelompok individu, bukan oleh rakyat di mana rakyat tidak lebih daripada nama tanpa entiti.

Pilihan raya dihiburkan dengan suasana pesta-pestaan: debat, tari-tarian, karnival, pentas nyanyian dan lawak jenaka, bahkan perang puisi akan diperamaikan untuk mengiringi rakyat memilih para pemimpin.

Akan tetapi, ini pesta siapa? Apakah ini pesta rakyat sebagai manifestasi kedaulatan rakyat?

Sayangnya, pesta demokrasi kini bukan pesta perayaan kekuasaan rakyat, melainkan kekuasaan golongan pemodal politik yang dikerahkan untuk memanipulasi kesedaran dan ketidaksedaran rakyat demi mendapatkan suara mereka.

Tidak keterlaluan jika dikatakan pesta politik pilihan raya menciptakan keadaan ”de-demokratisasi” sehingga proses pembangunan demokrasi justeru menjadi proses penghancuran tonggak demokrasi itu sendiri.

Salah satu tonggaknya kedaulatan rakyat. Kekuatan rakyat kini ”dilucuti” dengan memutarbelitkan kekuatan sebenar mereka sebagai rakyat, menjadi sekadar ”pengguna” dari sebuah ”ruang politik” yang telah berubah menjadi ”pasar bebas politik”.

Oleh itu ”pemilik” kedaulatan rakyat menjadi homo consumericus, iaitu para pengguna tontonan peristiwa.

”Pesta demokrasi” atau pesta pilihan raya kini tidak lebih daripada pesta homo econo-politicus yang merayakan kelimpahan material, timbunan wang, kekuatan media dan populariti untuk dihamburkan di ruang panggung hiburan, iklan televisyen, percitraan visual media, karnival bahkan pemberian wang untuk membeli suara rakyat.

Rakyat sendiri bukan sebahagian dari ”pesta” ini kerana mereka hanyalah ”penonton” hingar-bingar pesta perebutan kekuasaan dan tidak memiliki kekuasaan apa pun, melainkan kekuasaan memilih di kotak undi.

Pilihan raya yang semestinya menjadi pesta rakyat bertukar menjadi pesta para oligarki yang melaburkan timbunan modalnya demi mendapatkan suara rakyat. ”Demi rakyat” sebagai esensi daripada sistem demokrasi dimanipulasi menjadi ”demi suara rakyat”.

Jurang antara ”pemimpin ideal” (yang memiliki keupayaan menyelesaikan pelbagai masalah negara) dan ”pemimpin popular” (yang dipilih kerana mampu membangun sentimen-sentimen kepada suara majoriti) berulang dalam setiap kedatangan pilihan raya.

Terbongkang jurang antara ”keperluan bangsa” dan pemimpin yang ”dilahirkan” melalui undian popular. Seolah-olah pesta pilihan raya ini merupakan pentas Malaysian Idol, yang ditampil dan dilahirkan adalah para ”idola politik”, yang popular kerana mampu membangun diri sebagai “the darling of the media”.

Kesedaran awam sepatutnya dirasai dalam pesta demokrasi bukan pesta ”masyarakat tontonan” kerana sirkus pemasaran, komunikasi strategik, penjenamaan dan mobilisasi massa demi suara rakyat.

Esensi demokrasi adalah setiap calon pemimpin yang bertarung dalam pertarungan politik, seperti pilihan raya, membawa beban amanat ”kedaulatan rakyat”, iaitu mengajukan diri sebagai calon pemimpin ”demi rakyat”.

Hak dan kebebasan rakyat dalam memilih harus difahami sebagai kebebasan atas asas ”kedaulatan rakyat” bukannya ditukar menjadi ”konsumen politik” yang tidak lebih dari massa yang menjadi sasaran pelbagai strategi ”pemasaran politik”, di mana pilihan-pilihan sudah ditentukan melalui mekanisme ”pasar politik”. – 25 November, 2017.

* Ismail Hashim Yahaya ialah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen