Pengusaha bunga beralih kepada sayur-sayuran untuk jana pendapatan


Khoo Gek San

Pengusaha bunga kini beralih kepada penanaman sayur-sayuran untuk menjana pendapatan berikutan pasaran bunga merosot kerana pandemik Covid-19.– 9 Mei, 2020.

PENGUSAHA bunga mengalami kerugian sehingga mencecah RM100 juta ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga mereka terpaksa beralih kepada pertanian sayur-sayuran untuk menjana pendapatan.

Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bunga-bungaan Cameron Highlands Lee Peng Fo memberitahu The Malaysian Insight, penanam bunga di Cameron Highlands mula beralih ke pertanian sayur-sayuran dan hasilnya akan dijual di pasar.

Langkah ini bagaimanapun tidak diterima oleh petani sayur-sayuran di Cameron Highlands yang mengatakan situasi ini akan menyebabkan lambakan sayur-sayuran sekali gus menjadikan harga lebih rendah.

Namun menurut Lee, pengusaha bunga telah melabur banyak wang, tenaga dan usaha untuk tanaman bunga sejak bertahun lamanya, jadi tidak mungkin mereka akan beralih sepenuhnya kepada pertanian sayur-sayuran.

Bunga dari Cameron Highlands dieksport ke Jepun, Thailand, Singapura, China, Australia, Hong Kong dan Taiwan yang mana ia mampu menjana pendapatan tahunan sehingga RM500 juta, kata Lee.

Namun kini ia terjejas berikutan pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan PKP setakat ini menyebabkan kerugian sehingga RM100 juta.

Pengusaha bunga mengurangkan tanaman susulan pasaran yang merosot akibat pandemik Covid-19.– 9 Mei, 2020.

“Pandemik ini memaksa pengusaha bunga mengurangkan bekalan dan beralih kepada pertanian sayur-sayuran.

“Sebanyak 20% pengusaha bunga yang terjejas di Cameron Highlands telah memperuntukkan 70% tanah mereka untuk menanam sayur-sayuran,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

“Mereka mula menanam sayuran berdaun hijau yang boleh dituai dalam masa yang singkat.”

Bagaimanapun menurut Pertubuhan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands, langkah pengusaha bunga beralih kepada penanam sayur-sayuran boleh menyebabkan lambakan dan penurunan harga.

“Ia seperti sembilan botol yang ada 11 penutup, apa pendapat anda mengenainya?” kata setiausaha persatuan Chay Ee Mong, secara kiasan menjelaskan lebihan itu.

Chay memberitahu The Malaysian Insight bahawa walaupun selepas membuang sayur-sayuran, stok masih berlebihan, memaksa petani sayur untuk mengurangkan hasilnya sebanyak 30%.

“Sayur-sayuran bukan seperti ayam. Pengguna boleh beli ayam segar dan simpan dalam peti sejuk untuk beberapa hari sebelum dimakan.

“Sayur hanya bertahan dalam tempoh singkat. Tambahan pula, pengguna Malaysia sudah biasa beli sayuran segar berbanding sayur yang disejuk beku,” katanya.

Chay turut bimbang harga sayuran akan jatuh sekiranya berlaku lambakan hasil pengeluaran dan peluang untuk memasarkan hasil pertanian mereka berkurangan.

Presiden Persatuan Pekebun Sayur Malaysia Tan So Siok berkata, sayur-sayurna yang ditanam pengusaha bunga akan dijual pada akhir bulan ini.

Pengusaha bunga memperuntukkan 70% tanah mereka untuk penanaman sayuran berdaun hijau.– 9 Mei, 2020.

Pengusaha bunga memilih untuk menanam sayuran berdaun hijau yang boleh dituai dalam masa singkat berbanding tomato dan cili, katanya.

“Akan berlaku lambakan sayuran berdaun hijau, yang mana ia akan menjejaskan jualan kepada kedua-dua pengusaha bunga dan petani sayur-sayuran,” kata Tan. 

Sekatan perjalanan antara negeri berikutan PKP yang dikuatkuasakan 18 Mac, menyebabkan petani terpaksa membuang stok sayur-sayuran mereka.

Petani sayur-sayuran Cameron Highlands turut berdepan satu lagi masalah apabila Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang ditutup kerana ramai pekerja dijangkiti Covid-19.

Bimbang kehilangan pasaran eksport

Rakyat tempatan ke Cameron Highlands kerana terdapat pelbagai jenis bunga ros namun bunga kekwa yang ditanam di kawasan ini mendapat permintaan tinggi di luar negara.

Data menunjukkan kira-kira 97% hasil tanaman bunga di Cameron Highlands dieksport ke 18 negara.

Lee memberitahu The Malaysian Insight, kualiti bunga kekwa Malaysia adalah yang terbaik di dunia.

Bunga kekwa Cameron Highlands merupakan antara hasil pertanian yang mendapat permintaan tinggi di luar negara. – 9 Mei, 2020.

“Bunga kekwa yang ditanam oleh petani Cameron Highlands adalah dari variasi Belanda. Ia diperkenalkan dan ditanam sejak bertahun dahulu. Kini ia terkenal di serata dunia dan dieksport ke Jepun, Thailand, Singapura, Hong Kong dan Timur Tengah,” katanya.

“Kebiasaannya bunga kekwa mengambil masa empat bulan untuk dituai.”

Permintaan bunga berkenaan bagaimana pun jatuh mendadak kerana Covid-19 dan pasaran eksport terutamanya ke Jepun dan Thailand turut terjejas.

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan koronavirus yang setakat ini menjangkiti 6,535 orang dan meragut 107 nyawa.

Vietnam berjaya mengawal pandemik itu dan bunga yang dihasilkan di negara itu lebih murah berbanding yang ditanam di Malaysia.

Lee bimbang Malaysia akan kehilangan pasaran eksportnya kepada Vietnam.

Menurutnya, kos untuk pengusaha bunga adalah tinggi sedangkan pendapatannya rendah.

“Kita mengimport varieti daripada negara asing sejak bertahun lamanya. Kualiti bunga kekwa kita sudah dikenali,” tambah Lee. – 9 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen