Institusi Hadiah Nobel digemparkan skandal seksual


Swedish Academy, pemberi Hadiah Nobel digemparkan dengan pendedahan salah laku seksual salah seorang tokoh penting akademi berprestij itu. Seramai 18 wanita tampil mendakwa mereka diserang seksual dan dirogol lelaki berpengaruh dalam kelompok elit seni budaya negeri itu. – Gambar AFP, 24 November, 2017.

SWEDISH Academy yang menganugerahkan Hadiah Nobel diheret ke kancah skandal seks selepas beberapa ahli, isteri dan anak perempuan mereka mendakwa seorang yang mempunyai hubungan rapat dengan akademi berprestij itu melakukan serangan seksual.

Gelombang #MeToo yang mendedahkan salah laku seksual di Hollywood turut menggegarkan industri seni, media dan politik di Sweden, salah sebuah negara paling setara gender di dunia, ketika ratusan wanita bercakap mengenai gangguan seksual dialami mereka.

Arena seni budaya Sweden yang berpengaruh itu dilanda kemelut pada Selasa selepas sebuah akhbar, Dagens Nyheter mengeluarkan keterangan 18 orang wanita mendakwa mereka diserang atau dirogol oleh seorang tokoh berpengaruh dalam kelompok elit seni budaya Stockholm.

Nama lelaki itu tidak didedahkan di media kerana undang-undang Sweden yang menghalang nama suspek disebut sebelum pendakwaan dilakukan. Tetapi identitinya dikenali ramai kerana dia seorang tokoh penting dalam kebudayaan Sweden dan mula disebut dalam perbincangan di internet.

Lelaki itu tidak membalas pertanyaan AFP, dan memberitahu akhbar itu yang dia tidak bersalah.

Lelaki itu berkahwin kepada seorang penulis yang “mempunyai hubungan rapat dengan Swedish Academy”, lelaki itu juga menguruskan sebuah kelab budaya yang sering mengadakan pameran, sesi bacaan dan persembahan kumpulan budaya elit negara itu- termasuklah penerima Hadiah Nobel- dan dianggap ramai sebagai “ruang tamu Akademi”.

Kelab itu dibiayai separuh oleh Akademi. 

Serangan seksual itu didakwa berlaku antara 1996 dan 2017, ada yang berlaku di kelab itu, menurut akhbar itu lagi. 

Beberapa wanita bercakap tentang serangan terhadap mereka secara terbuka, membenarkan akhbar itu mendedahkan identiti mereka, dan cerita mereka disokong saksi.

Salah seorang wanita mendakwa dia dirogol di apartmen kawasan kejiranan mewah Stockholm.

“Semua orang tahu dan semua orang sentiasa tahu,” yang dia menyerang wanita muda, kata wanita tersebut.

Wanita itu mengatakan mereka berdiam diri kerana bimbang kerjaya mereka musnah kerana lelaki itu mempunyai hubungan rapat dengan penerbit,pengarah dan komposer utama negara itu.

Selepas “mesyuarat krisis” pada petang Khamis, Swedish Academy mengumumkan ia memutuskan semua ikatan dengan tertuduh, yang dibiayai dan dibenarkan menguruskan sebuah apartmen milik akademi di kawasan kejiranan elit Paris.

Institusi berprestij itu mengatakan ia akan melancarkan siasatan dalaman untuk mengenal pasti sekiranya lelaki itu “secara langsung atau tidak mempengaruhi hadiah, biasiswa dan pembiayaan diberikan Akademi”.

Menteri Budaya Alice Bah Kuhnke mengatakan beliau menyesal menganugerahkan “Order of The Polar Star” kepada lelaki itu pada 2015, anugerah itu diberikan kepada keluarga diraja Sweden dan orang luar kerana jasa bakti kepada Sweden. – AFP, 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen