Pasar hamba Libya sudah lama wujud, kata aktivis


CNN pada 14 November lalu melaporkan kewujudan pasar jual beli hamba di Libya, isu yang dipandang enteng pemimpin dunia walaupun aktivis sudah lama menimbulkan hal itu. – Gambar AFP, 24 November, 2017.

PEMIMPIN dunia mungkin pantas menyuarakan kecaman terhadap rakaman video jual beli hamba di Libya, tetapi aktivis sudah membangkitkan hal itu beberapa bulan lalu dan amaran mereka tidak dipedulikan.

Pekerja bantuan, kumpulan hak asasi dan penganalisis berkata yang mereka sudah lama menyuarakan wujudnya situasi rogol, seksaan dan kerja paksa untuk ribuan rakyat Afrika berkulit hitam di negara Afrika dilanda perang itu.

Tetapi, rakaman yang diperolehi CNN mengenai belia Afrika yang dilelong berhampiran Tripoli, yang dirakamkan melalui kamera tersembunyi dan disiarkan pada 14 November memaksa pemimpin Barat dan Afrika mengeluarkan kecaman mereka.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres “terkejut”, Ketua Kesatuan Afrika Alpha Conde “bengang”.

Perancis meminta mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB diadakan, dan Presiden Emmanuel Macron menyifatkan tindakan itu sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Tetapi NGO dan pakar menyifatkan semua pemimpin itu hipokrit.

“Selain rakyat biasa, semua orang tahu- kerajaan, organisasi antarabangsa, pemimpin politik,” kata Hamidou Anne, penganalis Senegal di badan pemikir L’Afrique des Idees.

Alioune Tine, Pengarah Amnesty International Afrika Barat mengatakan “tahanan, keganasan, seksaan dan rogol” didokumentasikan dengan baik di Libya.

“Dan kami sudah bercakap tentang perhambaan sekian lama,” tambahnya.

Libya menjadi pusat perantara utama untuk rakyat Afrika yang mahu menyeberangi ke Eropah selepas kejatuhan diktator Moamer Kadhafi pada 2011 mengheret negara itu ke kancah kucar kacir. 

Kesatuan Eropah terdesak untuk menghentikan aliran kemasukan itu- lebih 1.5 juta pendatang tiba di Eropah sejak 2015, kata PBB.

Tetapi pemimpin masih tidak menemui jalan penyelesaian untuk pencari suaka di negara Mediterranean itu.

Bulan ini, PBB mengecam latihan yang diberikan kepada penjaga pantai Libya, yang dianggap setiausaha agungnya menghantar pelarian ke tempat yang tidak berperikemanusiaan. 

Dengan bantuan EU, Itali mula melatih penjaga pantai Libya untuk memintas bot sebagai sebahagian daripada kerjasama kontroversi yang menyaksikan penurunan 70% pendatang sejak Julai lalu.

Tetapi PBB mengatakan tindakan itu menyebabkan pendatang dihantar balik ke Libya dan berdepan risiko seksaan, rogol dan kerja paksa serta peras ugut.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus menutup mata kepada kekejaman yang dialami pelarian di Libya,” kata Ketua Hak Asasi PBB Zeid Ra’ad Al Hussein.

Brussels mempertahankan latihan itu mengatakan ia berjaya menyelamatkan nyawa- hampir 3,000 orang terbunuh ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean tahun ini- sementara bantuan disediakan EU sudah membantu agensi PBB menghantar kembali 10,000 pelarian yang ingin pulang secara sukarela.

Di Gambia, Karamo Keita menubuhkan sebuah kumpulan memberi amaran kepada belia supaya tidak cuba menyeberangi Eropah selepas mengalami penyiksaan teruk di Libya termasuk sebagai hamba.

“Di Libya, orang kulit hitam tiada hak,” katanya kepada AFP pada September.

“Kami dibawa ke pelbagai ladang dan dijual lelaki Libya sebagai hamba. Kami bekerja di ladang tanpa dibayar.”

Organisasi Migrasi Antarabangsa pada April melaporkan kewujudan pasar di mana pendatang diperlakukan sebagai “komoditi untuk dibeli”.

Dan beberapa bulan selepas itu, ketua badan kebajikan perubatan, Medecins Sans Frontieres, Joanne Liu, dalam surat terbukanya kepada kerajaan Eropah melaporkan mengenai “ perniagaan penculikan, seksaan dan peras ugut”. – AFP, 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen