SATU etnik baharu ditemui di Indonesia di kawasan pergunungan Bintang di Wilayah Papua.
Menurut Kepala Staf TNI Angkatan Darat, Mulyono, etnik yang dinamakan Suku Digi itu terdiri daripada 15 keluarga (jumlah individu tidak dinyatakan), yang ditemui di sebuah perkampungan terpencil di pergunungan berkenaan.
“Mereka belum mengenal Bahasa Indonesia, mata wang rupiah dan pemerintahan Republik Indonesia,” katanya dipetik dalam laporan agensi berita Antara hari ini.
Penemuan etnik baharu itu adalah hasil satu ekspedisi melibatkan 1,197 anggota yang terdiri daripada anggota tentera, polis dan akademik ke kawasan berkenaan bagi mengumpul maklumat berkaitan flora dan fauna, data geologi dan keselamatan.
Ekspedisi menjelajah hutan, gunung dan pantai di sempadan Indonesia dan Papua New Guinea itu meliputi jarak 2,940 kilometer, bermula 3 Ogos 2017 dan berakhir Rabu lepas.
Petempatan etnik itu diklasifikasikan sebagai terpencil dan tidak dapat dimasukki menggunakan kenderaan darat.
Kerajaan Indonesia kini menyusun perancangan bagi membantu dan membangunkan kawasan etnik berkenaan.
“Mereka adalah saudara kita se-Indonesia,” kata Mulyono.
Mengikut data Kementerian Dalam Negeri Indonesia, setakat Jun 2016, penduduk Indonesia adalah seramai 257.9 juta, terdiri daripada lebih 300 etnik. – Bernama, 24 November, 2017.
Komen