MOHAMAD Ariff Md Yusof menolak usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir supaya beliau kekal sebagai speaker Dewan Rakyat.
Ariff menerusi surat bertarikh 5 Mei, yang dilihat oleh The Malaysian Insight, berkata penolakan itu susulan notis dikemukakan tidak mengikut Peraturan Mesyuarat 27.
“Dalam hal ini, saya telah meneliti usul yang dikemukakan oleh YABhg Tun dan mendapati ia tidak dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 27.
“Oleh yang demikian, saya tidak membenarkan usul ini dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat,” kata Ariff.
Peraturan Mesyuarat 27 (3) menyatakan sebarang usul hendaklah dikeluarkan oleh ahli Parlimen tidak kurang daripada empat belas hari sebelum sidang Dewan Rakyat, atau tujuh hari jika diusul oleh menteri.
Dalam surat penolakan itu, Ariff berkata notis Dr Mahathir dihantar pada 4 Mei.
Surat itu bagaimanapun tidak menyebut secara khusus bahagian mana dalam Peraturan Mesyuarat 27 tidak dipenuhi.
Dr Mahathir mengemukakan usul supaya speaker Dewan Rakyat dikekalkan sehingga Parlimen dibubarkan. – 8 Mei, 2020.
Komen