Sukar agih jawatan jika perjanjian mengikat, kata pemimpin Umno


Mohd Farhan Darwis

Ahli Majlis Teringgi Umno Zahidi Zainul Abidin berkata parti itu tidak melakukan perjanjiran rasmi berkaitan gabungan PN kerana lebih selesa dengan rundingan terbuka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

UMNO mengelak melakukan sebarang perjanjian rasmi berkaitan gabungan Perikatan Nasional (PN) kerana lebih selesa melakukan rundingan terbuka dari masa ke masa, kata seorang ahli Majlis Teringgi (MT) parti itu.

Zahidi Zainul Abidin berkata untuk tujuan itu, Umno juga sentiasa terbuka menjalankan rundingan dengan pihak dalam Bersatu, Barisan Nasional (BN), dan PAS yang bersama-sama dalam PN.

“Tak payah ada ikatan yang ketat tapi sentiasa berunding ikut keperluan dan kebaikan rakyat.

“Dengan cara itu kita sentiasa terbuka untuk rakyat dan tidak terikat untuk kita ubah apa-apa keputusan untuk kebaikan rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Timbalan menteri komunikasi itu berkata jika ada perjanjian antara parti terlibat dalam PN, kesukaran akan timbul terutama membabitkan agihan kedudukan dan jawatan serta kerusi ditandingi.

“Kalau ada perjanjian nanti kita tandatangan, nanti kena letak berapa ahli Parlimen, berapa menteri. Kalau tak puas hati kena ubah rundingan pula.

“Umno bukan tak mahu hubungan rasmi dengan PN. Kita sentiasa terbuka untuk rundingan maknanya jangan tandatangan apa-apa yang mengikat, kita tak payah ikat satu sama lain,” katanya.

Ahli Parlimen Padang Besar itu juga berkata keterbukaan melalui kaedah rundingan itu akan membuatkan PN menjadi lebih kuat.

“Kita sentiasa ada keputusan untuk menjadikan parti lebih kuat. Kita sentiasa buka pintu rundingan dan diteruskan demi kebaikan rakyat.

“Dalam rundingan kita terbuka dengan Bersatu, PAS, Umno, dan BN, semuanya sentiasa buka pintu rundingan,” kata Zahidi.

Beliau mengulas laporan media yang menyebut Umno mengelak daripada melakukan kerjasama secara rasmi dengan PN, antaranya untuk menjaga kedudukan parti itu.

Keputusan itu dilaporkan dicapai dalam mesyuarat MT Umno pada Isnin lalu.

Susulan itu, beberapa pemimpin Pemuda Bersatu menyatakan bantahan ke atas usaha kerjasama dengan Umno dan menggesa parti itu kembali ke pangkuan Pakatan Harapan.

Umno sentiasa terbuka menjalankan rundingan dengan pihak dalam Bersatu, BN dan PAS yang bersama-sama dalam PN, kata Ahli MT Umno Zahidi Zainul Abidin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

Pada masa sama, satu senarai nama majoriti pemimpin Pemuda Bersatu yang menyokong kerjasama dengan Bersatu juga muncul, namun beberapa orang dalam senarai itu dilaporkan menafikan sokongan.

Ketua Penerangan Bersatu Rafzi Jidin pula memberi amaran untuk memecat mana-mana ahli yang bekerjasama dengan parti pembangkang.

Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin juga dilaporkan akan bertemu dengan Presiden Umno dan PAS, Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang berhubung perkembangan melibatkan kerjasama tersebut.

Turut menjadi perhatian, persidangan Parlimen pada minggu depan yang bakal menjadi medan untuk pembangkang melancarkan undi tidak percaya ke atas Muhyiddin.

Menteri hal ehwal undang-undang daripada PAS, Takiyuddin Hassan menolak tuntutan pembangkang untuk bersidang sekurang-kurangnya seminggu dan bertegas persidangan itu hanya berlangsung sehari.

Umno dan BN kini hanya memeterai kerjasama bersama PAS, yang ditandatangani melalui dokumen Muafakat Nasional.

Keputusan itu timbul selepas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegaskan PN bukan satu gabungan rasmi seperti mana Muafakat Nasional.

Kerjasama dalam PN dibentuk bagi membolehkan Muhyiddin dipilih menjadi perdana menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Ia ekoran tindakan Bersatu mengumumkan keluar Pakatan Harapan yang menyebabkan Dr Mahathir mengumumkan meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Situasi itu mencetuskan polemik politik lebih seminggu apabila gabungan politik masing-masing berusaha menunjukkan mereka mempunyai majorit mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Ia berkahir pada hujung Februari apabila Yang di-Pertuan Agong menerima kumpulan Muhyiddin dan PN turut menamakan beliau sebagai calon perdana menteri. – 8 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen