PKR, Pakatan akan bincang usul undi tak percaya PM


Zaim Ibrahim Bernard Saw

Sidang Parlimen sebelum ini ditetapkan hanya sehari bagi pembukaan penggal oleh Yang di-Pertuan Agong dan urusan kerajaan, termasuk hal-hal perundangan berkaitan pakej rangsangan menghadapi kesan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

PKR tidak pernah mengiktiraf Parikatan Nasional sebagai kerajaan sah dan akan membincangkan sokongan ke atas usul tidak percaya pada Muhyiddin Yassin, kata setiausaha agung parti.

Saifuddin Nasution Ismail berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti dan Biro Politik PKR

“Keputusan PKR pada dasarnya atas dua prinsip. Pertama, PKR berpegang bahawa ahli Parlimennya bebas untuk mengemukakan apa-apa usul di Parlimen.

“Kedua, PKR tidak pernah mengiktiraf legitimasi Perikatan Nasional sebagai kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketua sekretariat Pakatan Harapan itu berkata, PKR, Amanah dan DAP akan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan hal berkaitan sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung 18 Mei.

“Biasanya saya akan hubungi ketua-ketua parti PH. Kemudian dapatkan beberapa maklumat dan kita akan keluarkan kenyataan,” katanya.

Saifuddin mengulas notis usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad kepada Speaker Dewan Rakyat memohon ketetapan dibuat bahawa Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Usul pengerusi Bersatu terhadap Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, jika dibenarkan, dipercayai akan dibentangkan pada 18 Mei ini apabila Parlimen bersidang. 

Sidang Parlimen sebelum ini ditetapkan hanya sehari bagi pembukaan penggal oleh Yang di-Pertuan Agong dan urusan kerajaan, termasuk hal-hal perundangan berkaitan pakej rangsangan menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Semporna Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah juga mengemukakan notis usul untuk Dewan Rakyat menyatakan sokongan majoriti kepada Dr Mahathir.

Notis usul itu bagaimanapun sudah ditolak oleh Speaker Mohamad Ariff Md Yusof dengan alasan ia tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri.

Notis usul Shafie bertarikh 1 Mei, sementara notis usul Dr Mahathir bertarikh 4 Mei.

Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR berkata partinya sendiri juga belum membuat keputusan rasmi mengenai perkara itu.

“Keputusan PKR pada dasarnya atas dua prinsip. Pertama, PKR berpegang bahawa ahli Parlimennya bebas untuk mengemukakan apa-apa usul di Parlimen.

“Kedua, PKR tidak pernah mengiktiraf legitimasi Perikatan Nasional sebagai kerajaan,” tambahnya.

Usul Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad terhadap Muhyiddin Yassin, yang juga presiden parti itu, jika dibenarkan, dipercayai akan dibentangkan pada 18 Mei ini apabila Parlimen bersidang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

Gerakan Dr Mahathir

Dalam pada itu, seorang sumber yang dekat dengan PH memberitahu usul yang mempersoalkan kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri digerakkan oleh Dr Mahathir.

“Ini adalah gerakan Dr Mahathir. Pakatan setakat ini mengikut sahaja,” katanya.

Seorang ahli Parlimen DAP yang enggan dinamakan pula berkata beliau secara peribadi tahu mengenai gerakan Dr Mahathir itu dan tidak melihatnya sebagai satu masalah bagi PH.

“Kalau PH tidak sokong, PH akan hampakan penyokongnya sendiri.

“Kita tidak tahu (usul) akan berjaya atau tidak, tetapi sebagai satu langkah politik, kita sudah buat sesuatu,” katanya.

Usul ketiga

Dalam pada itu, The Malaysian Insight difahamkan selain notis usul oleh Dr Mahathir dan Shafie, ada satu lagi notis yang membawa maksud yang sama, yang difailkan oleh seorang ahli Parlimen dari Warisan.

Notis usul ketiga, kata sumber, menggabungkan kedua-dua usul berkenaan iaitu meminta anggota Dewan Rakyat menyatakan pendirian sama ada menyokong Dr Mahathir atau Muhyiddin.

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada Speaker membenarkan atau menolak usul Dr Mahathir, atau usul yang ketiga.

Notis usul Dr Mahathir memenuhi syarat dikemukakan dalam tempoh sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sidang Dewan Rakyat.

Sidang Dewan Rakyat 18 Mei ini ditetapkan tanpa soal jawab untuk menteri dan hanya mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong serta usul daripada kerajaan melibatkan urusan pencegahan dan pengawalan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

Pada akhir Mac, mesyuarat kabinet memutuskan Dewan Rakyat hanya bersidang sehari, atas nasihat Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan Covid-19.

Sidang itu ditetapkan tanpa soal jawab untuk menteri dan hanya mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong serta usul daripada kerajaan melibatkan urusan pencegahan dan pengawalan Covid-19.

Langkah itu bagaimanapun dibantah oleh ahli Parlimen pembangkang.

Awal minggu ini, semua ketua parti dalam PH serta Dr Mahathir mewakili Bersatu dan Shafie mewakili Warisan mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Dewan Rakyat bersidang penuh sekurang-kurangnya selama dua minggu selepas PKP dilonggarkan

Sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini adalah yang pertama sejak Muhyiddin mengetuai pentadbiran baharu Perikatan Nasional.

Gabungan baharu politik itu menggantikan Pakatan Harapan, susulan langkah politik Bersatu bersama sebahagian ahli Parlimen PKR serta Umno dan PAS pada hujung Februari lalu.

Kerjasama politik itu dibentuk selepas Dr Mahathir letak jawatan sebagai perdana menteri pada 24 Februari, selepas Muhyiddin bertegas mahu membawa Bersatu keluar dari PH.

Semalam, Majlis Pakatan Harapan membuat pengumuman menamakan Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang. – 8 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen