SEORANG buruh dikhuatiri lemas di Sungai Jelai selepas dilaporkan hilang semasa memeriksa bot di Kampung Tanjung Jati, Kuala Lipis hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata, keluarga mangsa mendakwa Asri Sallih, 47, pergi ke jeti sungai pada 12.30 tengah hari kerana mahu melihat jika terdapat air bertakung dalam bot.
“Keluarga mangsa mendakwa mereka kemudian pergi ke jeti kira-kira pukul 2.00 petang kerana merasakan mangsa mengambil masa terlalu lama dan setibanya di situ, melihat terdapat kesan runtuhan tanah.
“Mereka mendakwa bot mangsa berada dalam keadaan terbalik di sungai dan gagal menemui mangsa walaupun telah mencari di kawasan berhampiran,” katanya semasa dihubungi di Kuantan, hari ini.
Azli berkata, keluarga mangsa membuat laporan polis pukul 2.30 petang dan gerakan mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira 15 minit kemudian melibatkan polis, bomba dan penduduk kampung.– Bernama, 7 Mei, 2020.
Komen