SERAMAI 145 pekerja asing yang melarikan diri selepas saringan Covid-19 di satu tapak pembinaan di ibu negara dilaporkan negatif, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 11 orang daripada mereka berjaya ditahan.
“Enam daripadanya ditahan sebelum ini, lima hari ini dan bakinya masih dalam tindakan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Pekerja asing berkenaan sebahagian daripada lebih 300 pekerja asing yang menjalani saringan Covid-19, kerana merupakan kontak kepada pekerja di tapak pembinaan Pavilion Embassy yang didapati positif.
Mereka melarikan diri selepas pasukan perubatan melakukan ujian saringan dan ketika polis dalam perjalanan mengepung kawasan berkenaan.
Terdapat kira-kira 400 pekerja di tapak pembinaan Pavilion Embassy yang dikenakan perintah kawalan pergerakan disasarkan semalam. Kebanyakannya warga asing.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara berkata 28 pekerja asing yang disahkan positif Covid-19 dihantar ke hospital dan selebihnya menjalani kuarantin ketat di sebuah hotel.
Sebelum ini, tapak pembinaan itu juga sudah diarahkan untuk ditutup selepas 28 pekerja itu dikesan positif Covid-19. – 6 Mei, 2020.
Komen