.jpg)
KETIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung, ramai wanita berkerjaya berusaha mengadaptasikan diri antara kerjaya (bekerja dari rumah) dan keluarga. Di Malaysia, 48% daripada wanita bekerja di luar rumah atau berada dalam pasaran kerja.
Ini disebabkan oleh transformasi dari segi pendidikan, pekerjaan dan peranan gender telah memberi peluang yang sama untuk wanita terlibat dalam pasaran kerja.
Walaupun wanita terlibat dalam pasaran kerja, namun dua pertiga daripada urusan rumahtangga masih di bawah tanggungjawab mereka. Hal ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malahan di seluruh dunia.
Pelbagai isu didebatkan dalam persidangan tentang wanita bekerja terutama tentang bebanan yang ditanggung oleh wanita. Namun, wanita tetap cekal untuk bekerja di luar rumah bagi mendapatkan sumber pendapatan dan kepuasan untuk dirinya dan keluarga.
Rencana ini membincangkan tentang adaptasi diri antara kerjaya dan keluarga dalam kalangan wanita berkerjaya. Bagi wanita profesional terutamanya, kebanyakan mereka menggunakan masa untuk urusan kerja berbanding dengan urusan menguruskan anak seperti mendidik, penyediaan makanan dan pakaian.
Selepas sekolah atau pada hujung minggu, anak- anak mereka disediakan dengan pendidikan tambahan sama ada dengan memanggil cikgu tuisyen datang ke rumah atau anak dihantar ke pusat tuisyen.
Dari segi penyediaan makanan pula, wanita profesional adakalanya akan masak ala western atau instant food yang mudah dan cepat. Kaedah paling mudah dan jimat masa adalah membeli makanan di kedai makan.
Sementara baju sekolah dan kerja pula, adalah lebih mudah jika dihantar ke kedai dobi dan mengambil perkhidmatan menggosok dan melipat baju. Wanita profesional cekap untuk menguruskan masa mereka antara tuntutan kerjaya dan pengurusan anak sebelum PKP.
Bagi wanita berkerjaya seperti guru, pentadbir atau wanita yang bekerja pejabat, mereka juga perlu membahagikan masa antara kerja dan keluarga. Begitu juga dengan jururawat dan wanita yang bekerja shift.
Mereka perlu bekerja di luar rumah dalam tempoh 8 jam sehari. Mereka juga perlu menguruskan anak-anak dengan baik.
Ada juga dalam kalangan mereka memberi pendidikan tambahan untuk anak anak dengan menghantar anak mereka ke pusat tuisyen dan membeli makanan di kedai makan.
Kedai makan yang menjual lauk di waktu petang amat maju di sekitar bandar kerana wanita berkerjaya merupakan pelanggan setia mereka. Alangkah indahnya kehidupan wanita berkerjaya sebelum PKP.
Kini, PKP dilanjutkan lagi sehingga suatu waktu yang akan ditentukan. Bagi mengurangkan tekanan rakyat terutama wanita, petikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tentang “Mak Cik Kiah” dan “Masakan Tidak Menjadi’’ amat popular.
Tidak semua wanita berkerjaya yang tidak hebat di dapur, namun wanita berkerjaya perlu adaptasi diri dengan masa untuk melakukan tugas kerja dari rumah dan keluarga.
Semasa PKP, semua wanita berkerjaya perlu menyesuaikan diri antara kerja dari rumah dan keluarga.
Ia bukan satu tugas yang mudah bagi wanita berkerjaya untuk melakukan tugas pejabat dan tugas keluarga di rumah. Ia menimbulkan tekanan dalam diri wanita, apatah lagi bagi wanita yang terdapat jurang komunikasi dengan ahli keluarga, tiada kebolehan teknologi maklumat dan multimedia.
Adaptasi utama adalah tentang pengurusan masa. Semua manusia dibekalkan dengan 24 jam sehari oleh Allah S.W.T. Tiada seorang pun yang mendapat masa yang lebih atau terkurang. Manusia yang hebat dan cemerlang, adalah manusia yang menggunakan masa sehabis sebaik.
Namun, seringkali kita mendengar keluhan wanita yang menyatakan mereka tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan tugas untuk diri mereka sendiri. Seperti yang saya nyatakan di atas, dua pertiga daripada tugas di rumah dilakukan oleh wanita.
Bagi wanita yang beranak kecil, cabaran mereka amat mencabar. Dari anak bangun, mandikan anak, pakaikan baju dan lampin, menyediakan makanan anak kecil dan masa bermain dengan mereka menuntut masa yang lebih.
Apatah lagi usia sehingga 7 tahun adalah masa anak ini memerlukan perhatian dan otak mereka umpama span yang menyerap segala maklumat di sekeliling mereka.
Ibu muda sewajarnya menyiapkan anak anak kecil dahulu, dan menjalankan tugas kerja dari rumah sewaktu anak sedang leka bermain di depan kita atau sedang tidur.
Ibu muda mempunyai tenaga untuk menguruskan masa antara kerja dari rumah dan tuntutan keluarga. Bantuan dari suami juga amat penting untuk memastikan ibu muda dapat melaksanakan kerja dari rumah.
Perkara yang menarik berlaku dalam kalangan sebahagian wanita berkerjaya adalah adakalanya masakan tidak menjadi. Ini berlaku kerana sebelum PKP, kedai makanan adalah tempat yang paling popular bagi wanita berkerjaya singgah sebelum pulang ke rumah. Anak-anak balik dari sekolah dalam keadaan penat dan lapar, ibu juga mengalami situasi yang sama.
Adalah mudah membeli makanan di kedai dan masa ibu untuk memasak dapat digantikan dengan urusan menyiapkan anak anak dan diri sendiri dengan lebih tenang.
Namun begitu, terdapat juga ibu yang berkerjaya akan ke dapur untuk menyiapkan makan malam untuk keluarga.
Semasa PKP, ibu berkerjaya sewajarnya mengambil peluang belajar masak untuk keluarga. Memperuntukkan masa bersama anak-anak dan suami untuk masak di dapur adalah masa yang sangat berharga. Tak jadi tak apa, yang penting kita cuba.
Pengurusan masa untuk penyediaan makanan agak mengambil masa bagi ibu yang berkerjaya. Apa yang perlu dilakukan supaya masa tidak diperuntukkan sebahagian besar untuk memasak. Ini kerana 8 jam sehari perlu diperuntukkan untuk bekerja dari rumah.
Dicadangkan, ibu berkerjaya ini menyiapkan barangan yang ingin dimasak terlebih dahulu. Membersihkan ayam, daging, ikan dan sayuran yang kemudiannya disimpan dalam bekas untuk mudah memasak. Merancang apa yang dimasak dalam tempoh 5 ke 6 hari akan memudahkan pengurusan masa antara kerja dari rumah dan tugas untuk keluarga.
Adaptasi kedua adalah merapatkan hubungan dan komunikasi antara ahli keluarga. Ibu berkerjaya adakalanya tidak mempunyai banyak masa untuk melihat anak membesar sepenuh masa dan berkomunikasi secara bersemuka.
Adakalanya, ibu berkerjaya perlu outstation lebih dari seminggu dan meninggalkan anak anak bersama penjaga.
Semasa PKP, ibu berkerjaya perlu memulakan penyesuaian untuk berkomunikasi dalam keluarga. Anak anak mungkin merasa sukar untuk memulakan komunikasi bersemuka bersama ibu. Mungkin juga mereka merasa bimbang akan menganggu konsentrasi ibu yang perlu menjalankan tugas kerja dari rumah.
Apatah lagi dalam masa yang sama ibu mereka perlu menjalankan tanggungjawab di rumah. Oleh itu, seeloknya, ibu memulakan perbualan bersama ahli keluarga.
Membantu mereka menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru adalah komunikasi yang paling mudah untuk dimulakan. Apabila melihat tulisan dan tugasan yang diberi oleh guru tidak dapat disiapkan oleh anak, janganlah marah. Mereka masih dalam proses pembelajaran.
Inilah masa untuk membantu mereka dalam tugasan tersebut. Keadaan pembelajaran mereka tidak seperti zaman kita belajar dahulu. Ibu perlu adaptasi situasi pembelajaran anak, dan kenali kekuatan dan kelemahan anak.
Mungkin ibu hebat pelajaran matematik semasa belajar dahulu, tidak semestinya anak mewarisi kehebatan pelajaran matematik anda. Mungkin anak lebih hebat dalam pelajaran yang berbentuk sejarah atau hafazan. Cungkilkan potensi anak melalui komunikasi yang berkualiti.
Terdapat juga ibu yang kekok untuk memulakan perbualan dengan anak secara bersemuka. Ini mungkin ibu dan anak-anak sudah terbiasa berkomunikasi melalui smartphone masing masing.
Ambilah peluang PKP ini untuk berkomunikasi secara bersemuka dan pandang mata anak anak. Sebagai ibu seharusnya anda mempunyai kuasa memotivasi dan mengawal tingkah laku anak anak ke arah yang lebih baik. – 6 Mei, 2020.
*Dr Askiah Jamaluddin adalah pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen