Kesedaran sivik untuk hadapi Covid-19


KESALAHAN tidak patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat seperti kesalahan lalu lintas pula di Malaysia. Secara rambang ramai yang melakukannya dengan pelbagai alasan yang kadangkala menggelikan hati.

Ada yang mahu menghantar resepi, menghantar makanan kepada kekasih, mengambil beras di rumah mertua dan sebagainya.

Ada yang anaknya didenda sehingga bapa terpaksa memecahkan tabung demi membayar denda, di kala kegawatan ekonomi kini. 

Pihak polis berkata tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 29 April adalah seramai 22,432 individu. Ada yang dituduh di mahkamah, ada juga dikompaun. Melihat kadar tidak patuh semakin meningkat, maka tiada lagi kompaun tetapi terus dituduh di mahkamah ketika PKP Tahap 3.

Segelintir rakyat mengambil sikap sambil lewa, mungkin menyangka boleh terlepas tangkapan.

Kajian indeks atau analisis kepatuhan rakyat Malaysia pada undang-undang terutamanya semasa PKP agak menarik, jika dapat dibuat. 

Secara rasionalnya, mengambil perspektif rakyat biasa terkurung dari kehidupan normanya, segelintir orang seolah-olah tidak senang duduk ditambah lagi dengan himpitan ekonomi apabila tidak dapat bekerja mencari sumber saraan hidup. Ini juga menumbuhkan masalah sosial yang lain seperti tekanan perasaan, pergaduhan juga keganasan rumahtangga dan sebagainya.

Mungkin juga ada yang menyangkakan perlaksanaan akan tidak seketat mana. Malang bagi mereka, kerajaan menghantar polis dengan bantuan tentera ke mana-mana terutamanya di sempadan negeri. Memang tiada kompromi. Ramai mungkin yang tidak menyangka pelaksanaan PKP akan menjadi sebegini tegas.

Rakyat negara jiran yang termasuk kategori negara maju sebagai contoh sangat patuh kepada penguatkuasaan undang-undang negara mereka, dari segi pemanduan, kebersihan, kesedaran sivik dan sebagainya.

Tetapi dilihat segelintir mereka, jika masuk ke Malaysia ketika berhujung minggu, merekalah yang membuang sampah di lebuh raya, memandu laju melanggar peraturan had laju dan sebagainya.

Rakyat England juga dilihat patuh pada undang-undang. Pada mereka undang-undang tiada kompromi, tiada wang kopi boleh disogok malah sogokan akan membawa ke neraka penjara. Negara penuh CCTV di mana-mana itu sangat mantap memantau rakyatnya. CCTV juga memantau kesalahan lalu lintas di bandar besar, bandar kecil malah di kampung-kampung terpencil. 

Jika melanggar undang-undang lalu lintas, jika tidak mahu dikompaun, perlu hadir kelas kesalahan lalu lintas selama beberapa jam, lalu terpaksa mendengar ceramah semula tentang lalu lintas. Oleh itu kadar kemalangan di UK agak kurang, melainkan kes-kes pemandu mabuk.

Selain undang-undang yang tegas atau jenis undang-undang yang mendokong kepatuhan, dari rasa insaf, kesedaran sivik atas kepatuhan atau takutkan undang-undang, pelaksanaan perlu nampak serius.

Sebagai contoh pelaksanaan semasa PKP dilihat sudah cukup bagus. Selain itu perlu ada sokongan sistem yang lain sebagai contoh penggunaan CCTV, sempadan batu bagi sempadan antara negeri dan sebagainya. Pemandu perlu berpatah balik jika terdapat sekatan sempadan batu secara mandatori. 

Apa-apa yang dilakukan pemandu dibuat atas risiko sendiri, sama ada patuh dan patah balik – jika tidak mahu berlaku kesesakan di penjara atau menggunakan jalan tikus atau berlari seolah bersukan hingga rentas sempadan negeri, maka terpulanglah atas risiko sendiri.

Tetapi notis jalan yang ditutup perlu diberitahu. Yang penting notis peringatan awal telah diberi yang mengurangkan insiden bertikam lidah dengan penguasa yang tidak sepatutnya.

Sebelum ini insiden berebut-rebut di stesen bas, komuter, LRT dan sebagainya, adalah perkara biasa yang memaksa pihak polis dan polis bantuan memantau di tempat awam. Kesannya rakyat nampak patuh dan beratur apabila menaiki bas awam. 

Rakyat harus dididik supaya patuh undang-undang. Bagaimana caranya terpulang pada kerajaan. Rakyat perlu ada kesedaran samada mahu memiliki mentaliti kelas pertama atau ketiga. Atau penguatkuasaan perlu mengikut Britain yang menjalankan pelaksanaan undang-undang tanpa kompromi, juga sama rata.  

Haruslah diingat pada masa PKP ini, negara lain seperti India, Kenya, Afrika Selatan, Perancis, juga China agak keras perintah berkurung mereka jika dibandingkan dengan Malaysia.

Di Perancis sebagai contoh menggunakan sistem dokumen sebagai pas kebenaran perjalanan semua individu. Kegagalan membawa pas akan didenda RM630 untuk satu kesalahan. Ia pas yang perlu dicetak sendiri oleh orang ramai, hanya laku untuk satu hari saja.

Tentera Afrika Selatan juga sudah mula menggunakan meriam air dan peluru getah dalam mengawal situasi, sejak hari pertama perintah kawalan dilaksanakan. Peluru getah itu khas disediakan untuk individu yang masih keluar membeli belah seperti biasa.

Filipina pula sebagai contoh, presidennya mengarahkan agar rakyat boleh ditembak jika terdapat pelanggaran.

Secara amnya, perlu ada kesedaran sivik minda rakyat sendiri untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam pematuhan kepada PKP, PKPB atau SOP itu sendiri.

Jika mereka berasa boleh hidup aman seperti biasa ketika vaksin Covid-19 belum ada lagi, terpulanglah.

Fikirkanlah juga kesan ketidakpatuhan orang lain, yang juga mungkin keluarga, rakan-rakan atau saudara mara sendiri. Anda mampu mengubahnya! – 6 Mei, 2020.

* Dr Noor Dzuhaidah Osman adalah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen