Serbuan ke kedai pajak gadai dijangka susut hujung minggu ini


Noel Achariam

ORANG ramai masih beratur panjang di luar premis pajak gadai di Lembah Klang pada hari kedua perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) untuk menebus barang kemas yang digadai, membayar faedah dan melanjutkan tempoh gadaian.

Tidak kurang juga yang mahu menggadai barang kemas untuk meneruskan kelangsungan hidup ekoran hilang pendapatan kesan pandemik Covid-19.

Beberapa pelanggan yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata mereka kehabisan wang selepas diberhentikan atau diminta mengambil cuti tanpa gaji sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Rata-rata memberitahu mereka tiada wang untuk menebus barang kemas yang digadai sebelum PKP dan mahu melanjutkan tempoh gadaian.

Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Nana berkata dia diarahkan bercuti oleh majikannya sepanjang PKP.

“Sekarang saya tak ada duit hendak tebus barang kemas yang saya gadai sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi pelanggan dari Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Lembah Pantai pula berkata dia datang untuk memperbaharui surat pajak gadai yang sudah tamat tempoh.

“Saya gadai barang kemas enam bulan lepas dan hari ini datang nak tanya berapa yang saya kena bayar untuk sambung lagi.

“Saya tak cukup duit, dah guna banyak semasa PKP,” kata wanita berusia 60 tahun yang mahu namanya dirahsiakan.

Beberapa orang yang sedang beratur kecewa apabila dimaklumkan kedai hanya buka sehingga 2 petang.

Di bawah PKPB, premis pajak gadai hanya dibenarkan beroperasi dari 9 pagi hingga 2 petang.

Seorang pemilik kedai pajak yang hanya mahu dikenali sebagai Sheryl berkata keadaan ini akan berakhir hujung minggu ini.

“Ada sedikit peningkatan jumlah pelanggan yang datang tetapi kebanyakannya untuk perbaharui surat gadai dan periksa barang kemas mereka.

“Trend ini tak akan lama, sekejap sahaja.”

Kata Sehryl, pelanggan diberi tempoh sehingga enam bulan untuk menebus sebelum barang kemas dilelong.

“Kerajaan sudah umumkan moratorium tiga bulan, jadi kita lanjutkan sampai sembilan bulan.

“Bagaimanapun, sama juga macam bank, kita akan kenakan faedah untuk tiga bulan.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemajak Malaysia Tan Ho Keng memberitahu The Malaysian Insight antara sebab barisan panjang adalah kerana hanya dua pelanggan dibenarkan memasuki premis pada satu-satau masa untuk mematuhi penjarakan sosial.

“Biasanya, kira-kira lapan hingga sepuluh orang boleh masuk, tetapi disebabkan penjarakan sosial, kita kena kawal jumlah yang masuk.

“Ini tidak lama sebab masih dalam tempoh PKP,” katanya. – 6 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen