Kedai pajak gadai, ah long 'bank orang susah', kata pakar


Sheridan Mahavera

Putrajaya perlu merangka jaringan sosial yang lebih baik untuk sektor tidak formal dan mewujudkan institusi pinjaman kecil supaya golongan ini tidak perlu bergantung kepada ah long, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

ORANG ramai menyerbu kedai pajak gadai sejak dua hari lalu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menunjukkan pendapatan golongan berpendapatan rendah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, kata pakar.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight kedai pajak gadai dan syarikat pinjaman wang sentiasa menjadi bank bagi orang susah.

Michael Tay, pemimpin MCA yang sering menjadi orang tengah dalam kes melibatkan peminjam wang haram atau ah long, juga menjangkakan lebih ramai orang mendapatkan khidmat ah long kerana kesempitan wang.

Barisan panjang di luar premis pajak gadai juga menunjukkan bahawa Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerajaan tidak cukup untuk memenuhi keperluan rakyat dan program bantuan seperti itu tidak sampai kepada beratus ribu orang dalam sektor tidak formal, menurut pakar.

Mereka yang tergolong dalam sektor tidak formal ini adalah yang bekerja sendiri, penjaja, pemandu teksi dan buruh yang hilang pendapatan harian susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Pakar berkata kerajaan Perikatan Nasional perlu merangka pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan pasca PKP.

Bagi jangka panjang, Putrajaya juga perlu merangka jaringan sosial yang lebih baik untuk sektor tidak formal dan mewujudkan institusi pinjaman kecil supaya golongan ini tidak perlu bergantung kepada ah long.

“Bantuan dalam pakej rangsangan tidak bertahan lama dan aktiviti ekonomi memerlukan masa untuk bermula semula, jadi rakyat perlu bertahan,” kata Tay, pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA.

“Rakyat perlu membeli barangan keperluan, perlu bayar bil air dan eletrik dan juga sewa rumah. Tuan rumah pula perlu bayar kepada bank. Jadi, mereka ke kedai pajak gadai akibat terdesak.”

Kedai pajak gadai dan peminjam wang menjadi pilihan kerana proses yang mudah dan tidak banyak kerenah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

Selepas dua hari PKPB dilaksanakan, The Malaysian Insight mendapati orang ramai masih beratur panjang di premis kedai pajak gadai untuk menggadai barang kemas, membuat pembayaran faedah atau melanjutkan tempoh gadaian.

Tay, yang banyak menguruskan kes membabitkan ah long sejak 10 tahun lalu, berkata beliau menjangkakan lebih ramai orang akan meminjam dengan peminjam wang haram ini kerana proses yang mudah walaupun kadar faedah yang dikenakan sangat tinggi.

“Saya sudah banyak kali beri amaran kepada orang ramai supaya jangan meminjam dengan ah long. Sepanjang PKP ini, ada tiga kes babitkan ah long yang terpaksa saya uruskan.

“Tetapi sekarang ini ekonomi teruk, perniagaan tak jalan, orang terdesak. Takkan nak salahkan mereka? Mereka ini bukannya orang kaya atau dari kelas pertengahan, ada duit simpanan.

“Mereka hilang punca pendapatan. Apabila simpanan sudah habis, barang kemas pun tak ada untuk digadai, jadi mereka nak minta tolong pada siapa?” 

Di luar sistem

Kedai pajak gadai dan peminjam wang sama ada berlesen atau haram umpama bank bagi golongan susah, kata Prof Denison Jayasooria dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pakar sosiologi dalam isu kemiskinan itu berkata tidak seperti bank komersial, kedai pajak gadai dan peminjam wang menjadi pilihan kerana proses yang mudah dan tidak banyak kerenah.

Kedua-duanya masih menjadi sumber utama bagi pinjaman mikro antara RM500 hingga RM1,000 walaupun kerajaan menubuhkan institusi serupa bagi golongan berpendapatan rendah dan mereka yang berada dalam sektor tidak formal seperti Amanah Ikhtiar dan Tekun Nasional, katanya.

“Mereka yang pergi ke peminjam wang adalah penjual burger, nasi lemak dan pemandu teksi, yang perlukan beberapa ratus atau ribu untuk bayar bil dan sewa,” kata Denison.

Bantuan BPN seperti RM1,600 bagi isi rumah berpendapatan bawah RM4,000 sebulan tidak cukup untuk menggantikan pendapatan yang hilang yang dirasai golongan ini.  – 6 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.        


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen