KKM atur semula strategi hadapi kemungkinan kes naik


Petugas kesihatan berbincang sesuatu ketika menjalankan tugas untuk membendung Covid-19 di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menggunakan tempoh pengurangan kes sejak seminggu dua ini untuk menyusun semula strategi baharu dari segi gerak tenaga kerja dan operasi dalam menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes selepas ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tempoh ini juga akan digunakan sebaiknya untuk memberi rehat kepada petugas barisan hadapan KKM yang selama ini telah bekerja keras sejak lima bulan yang lepas.

“Barisan hadapan kesihatan dan petugas KKM bekerja siang malam sejak lima bulan lepas, tidak kenal erti hari minggu atau hari kerja. Hasil pengorbanan ini kes positif Covid-19 semakin berkurang.

“Mereka di Wad ICU (Unit Rawatan Rapi) dan pusat kuarantin juga semakin kurang sejak seminggu dua ini dan ini masa terbaik untuk beri time off kepada warga kerja KKM dan beri kaunseling supaya mereka dapat terus bertahan kalau ada berlaku peningkatan kes.

“Kami bersedia untuk sebarang kemungkinan yang lebih buruk namun mengharapkan yang terbaik,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Hari ini, Mencatatkan kes baharu Covid-19 paling rendah dengan 30 kes sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Kata Dr Noor Hisham, sebanyak 21 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
 
Daripada keseluruhan 180 kes yang dikesan di pasar borong, 107 melibatkan pekerja asing dengan satu kematian warga Myanmar. – Bernama, 5 Mei, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen