Bekas penasihat White House kerjasama siasat campur tangan Rusia


Bekas penasihat Keselamatan Dalam Negeri White House, Michael Flynn setuju memberi kerjasama dengan pendakwa raya khas dalam siasatan konspirasi kempen Donald Trump dengan Rusia dalam pilihan raya. – Gambar AFP, 24 November, 2017.

BEKAS penasihat Keselamatan Dalam Negeri White House, Michael Flynn setuju memberi kerjasama dengan pendakwa raya khas yang menyiasat kemungkinan konspirasi antara pasukan kempen Presiden Donald Trump dan campur tangan Rusia pada pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

Akhbar The New York Times melaporkan peguam Flynn memberi notis kepada pasukan peguam Trump beberapa hari lalu menyatakan mereka tidak boleh lagi membincangkan siasatan pendakwa raya khas, Robert Mueller, merujuk empat orang yang terbabit dalam kes itu.

Perkembangan itu menunjukkan Flynn bekerjasama dengan pendakwa raya atau merundingkan perjanjian, menurut laporan.

Peguam Flynn berkongsi maklumat dengan pasukan peguam Trump mengenai siasatan Mueller berkaitan campur tangan Rusia pada pilihan raya tahun lalu, yang menyaksikan Trump menewaskan calon Demokrat, Hillary Clinton.

“Perjanjian sudah ditamatkan,” kata sumber akhbar berkenaan.

Flynn menjadi penasihat keselamatan selepas Trump menduduki White House pada 20 Januari, 2017. Beliau meletak jawatan tiga minggu kemudian berikutan kaitannya dengan Russia.

Siasatan Mueller membawa kepada penangkapan bekas pengerusi kempen Trump, Paul Manafort, rakan Manafort, Rick Gates dan penasihat dasar luar kempen, George Papadopoulos.

Papadopoulos mengaku bersalah menipu Biro Siasatan Persekutuan (FBI). – AFP, 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen