2 kawasan di Selayang, Chow Kit dikenakan PKPD


Ragananthini Vethasalam

Anggota tentera mula memasang pagar kawat duri di kawasan sekitar Pasar Raja Bot malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Mei, 2020.

TIGA kawasan di Kuala Lumpur diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas terdapat lonjakan kes Covid-19, sehari selepas Putrajaya membenarkan hampir semua industri menyambung semula operasi.

Kawasan berkenaan adalah sekitar Pasar Raja Bot atau lebih dikenali Pasar Chow Kit dan dua kawasan perumahan di Selayang iaitu Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti.

The Malaysian Insight difahamkan PKPD di sekitar Pasar Raja Bot melibatkan kira-kira 3,000 penduduk termasuk di Jalan Haji Hussein, Kampung Manggis dan Jalan Raja Alang.

Pihak berkuasa kesihatan dijadualkan menyaring penduduk terlibat bermula hari ini.

Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengesahkan tiga kawasan yang diletakkan di bawah PKPD.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dua hari berkata Malaysia masih menguatkuasa kawalan bersasar dan PKPD dikenakan jika kes meningkat walaupun kelonggaran dibuat melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ismail Sabri semalam berkata PKPD di enam kawasan sekitar Selayang di utara Kuala Lumpur yang sepatutnya tamat semalam dilanjutkan hingga 12 Mei.

Enam kawasan terbabit adalah Parcel C (Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara), Parcel D (Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara), Parcel E1 (Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D), Parcel E2 (Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D), Parcel E3 (Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B) dan Parcel F (Taman Batu View and Taman Batu Hampar). 

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, PKPD di Parcel A (Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara) dan Parcel B (Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara), serta Pasar Borong Kuala Lumpur ditamatkan semalam.

Manakala PKPD di Malayan Mansion dan Selangor Mansion, Menara City One dan di kawasan sekitar Masjid India ditamatkan pada Ahad lalu.

“Mereka kini bebas bergerak memandangkan PKPD tamat semalam. Tiada arahan mengenai pendatang tanpa izin, itu sebabnya mereka ditempatkan di depoh tahanan Imigresen,” katanya. 

PKPD di Sekolah Tahfiz An-Nabawiyyah dan kawasan perumahan di Batu 23, Sungai Lui, Hulu Langat turut ditamatkan pada Ahad lalu. – 5 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen