Politik kita jaga kita


ZAMAN generasi Internet of Things (IOT) ini tidak mewajibkan kita terikat dengan mana-mana entiti untuk berkembang maju.

Sebagai contoh, artis tak semestinya memerlukan  label rakaman untuk popular, usahawan tak perlu lagi bergantung dengan gerai Mara untuk meletakkan produk mereka.

Nak menjual dan mengeluarkan kain tudung, tak semestinya perlu membuka kilang. Begitulah berbezanya zaman IOT ini.

Dinamika baharu daripada perkembangan IOT ini, belum banyak berlaku dalam konteks parti politik. Konsep keterbukaan atau inklusiviti parti-parti politik terhenti setakat untuk membuat “sembang santai” dalam kalangan orang awam khususnya golongan muda.

Pendekatan politik kebanyakan parti pasca Mei 2018 pada umumnya masih belum banyak berubah. Ini kerana status quo dalam hirarki organisasi dan hegemoni pimpinan yang masih kuat berakar.

Lihat saja bagaimana Ahmad Zahid Hamidi boleh menang jawatan presiden Umno menewaskan watak muda seperti Khairy Jamaludin yang lebih digemari oleh golongan muda.

Semua ini manifestasi parti yang tidak bergerak seiring dengan gaya hidup rakyat pada zaman IOT.

Masalah politik kepartian ini berakar dari tuntutan kesetiaan kepada susuk pemimpin, sebahagian yang lain kerana tuntutan “carma” (cari makan).

Perkara ini sudah menjadi alami (nature) sejak zaman kerajaan Melayu Melaka lagi. Nak kata salah tak boleh, nak kata benar pun susah. Ini realiti yang diamalkan.

Namun, golongan muda yang produktif di luar sana pula tidak mudah memberikan ketaatan atau kesetiaan kepada satu-satu susuk pemimpin. Rata-rata sifat orang muda dari generasi IOT ini lebih percayakan sistem daripada wala’ (setia) kepada sosok pemimpin tertentu.

Mereka percaya, sistemlah yang akan memberi mereka peluang, ruang dan kebebasan untuk memajukan diri dan menikmati hidup yang lebih berkualiti, bukan pemimpin politik.

Sama ada parti politik mahu mengikut dan mengadaptasi entiti mereka dengan arus ini, atau kekal dan percaya dengan status quo, sama-sama kita lihat.

Namun, dunia akan tetap berubah sekalipun parti politik mahu terus kekal begitu. Justeru, kerja mengubah keadaan adalah tugas kita – kita jaga kita.

Watak-watak lama dalam semua parti politik, harus direhatkan sepertimana kita berjaya merehatkan Najib Razak. Setelah Muhyiddin Yassin naik menjadi perdana menteri, kita tak sepatutnya membenarkan seorang lagi watak lama yang melepasi usia 60 tahun untuk menjadi PM lagi selepas ini.

Jika menumbangkan Najib bukan lagi kerja yang mustahil, memiliki PM yang muda dengan idea baharu, mesti boleh.

Kita yang putuskan. Ini era kita; kita jaga kita. – 5 Mei, 2020.

*Mahdzir Ibrahim ialah AJK DAP Johor.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen