Peniaga perlu potong kos, susun semula operasi untuk bertahan


Bernard Saw Khoo Gek San

Perniagaan yang terjejas akibat PKP perlu susun semula operasi dengan memotong kos dan beri keutamaan kepada perolehan pendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2020.

PERNIAGAAN yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membendung Covid-19 perlu menyusun semula operasi dengan memotong kos dan menghentikan kerugian untuk kembali mapan, kata pemain industri.

Nasihat itu diberikan ketika perniagaan terjejas oleh PKP kini berdepan tugas sukar untuk kembali selepas penutupan selama enam minggu, terutama bagi sektor yang tidak penting.

Paling teruk terjejas dalam keadaan ini ialah usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang terdiri daripada 98% syarikat di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa PKS Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Koong Lin Loong berkata kebanyakan PKS tidak dapat meneruskan perniagaan dalam tempoh PKP.

“Jika perniagaan mahu terus beroperasi, perkara pertama perlu dilakukan ialah menyusun semula dan memotong apa yang tidak perlu. Keutamaannya ialah untuk potong kos, dan mereka perlu beri perhatian kepada pendapatan dan perbelanjaan.

“Jika kerja sesuatu jabatan itu tidak perlukan pekerja tertentu, maka tenaga kerja boleh dikurangkan. Jika pelanggan tertentu berhutang, jadi syarikat perlu mendapatkannya semula untuk elak ia jadi hutang,” kata Koong kepada The Malaysian Insight.

Beliau perkata perniagaan ini tidak menerima pendapatan ketika PKP tetapi masih perlu membayar kos sewa, cukai dan gaji pekerja.

Perniagaan seperti ini, kata Koong, terpaksa bergantung pada pinjaman bank untuk bertahan dan mereka kini perlu mempertimbangkan bagaimana hendak menjalankan operasi dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Sebahagian syarikat ini mula beroperasi semula semalam di bawah PKP bersayarat, di mana hampir semua perniagaan dibenarkan menyambung operasi di bawah syarat kesihatan dan kebersihan yang ketat.

PKP dijadualkan tamat 12 Mei. PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, yang setakat ini membabitkan 6,353 kes jangkitan dengan 105 kematian.

Putrajaya semalam melonggarkan sedikit PKP dengan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dibuka semula dengan syarat perniagaan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.

Beralih kepada digital

Koong berkata teknologi digital kini penting untuk mengekalkan komunikasi antara syarikat dan pelanggan mereka ketika PKP berlangsung, kerana jika tidak, sukar untuk perniagaan kembali beroperasi.

“Produk yang menjana paling banyak keuntungan perlu kembali beroperasi secepat mungkin untuk meningkatkan aliran tunai.

“Pada masa ini, PKS hanya cukup wang untuk bertahan bagi tempoh dua hingga tiga bulan, dan ia kebanyakannya pinjaman tunai daripada bank,” katanya, menambah perniagaan perlu bergantung kepada diri sendiri, bukannya kerajaan.

PKS ialah perniagaan yang mempunyai perolehan tahunan kurang RM500,000 dengan jumlah pekerja kurang 200 orang. – 5 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen