Mnangagwa angkat sumpah presiden Zimbabwe


Bakal Presiden Zimbabwe Emmerson Mnangagwa berucap di hadapan penyokongnya, bersama isteri Auxilia di sampingnya di ibu pejabat parti Zanu-PF di Harare. – Gambar AFP, 24 November, 2017.

EMMERSON Mnangagwa akan mengangkat sumpah jawatan presiden Zimbabwe hari ini, memuktamadkan babak drama politik menggulingkan penyandangnya Robert Mugabe selepas rampasan kuasa tentera.

Mnangagwa, yang selama ini menjadi sekutu terdekat Mugabe sehinggalah tercetusnya perselisihan baru-baru ini, dijangka mengangkat sumpah di stadium sukan negara itu di pinggir Harare, di hadapan penyokong, tetamu kehormat dan diplomat asing.

Mugabe, yang memerintah negara selatan Afrika itu selama 37 tahun dengan cara autokrasi, disingkirkan daripada jawatannya ketika tentera campur tangan selepas beliau memecah Mnangagwa sebagai naib presiden.

Mugabe, 93, dan menghadapi masalah kesihatan, meletakkan isterinya Grace sebagai pengganti, tetapi panglima tentera bertindak menghalang rancangan itu dan menyokong Mnangagwa.

“Datang dan saksikan sejarah tercipta, kedatangan era baharu dan negara yang lebih baik,” menurut kenyataan dikeluarkan parti pemerintah ZANU-PF menjemput orang ramai menghadiri upacara perasmian itu.

Mnangagwa, 75, dikenali sebagai “The Crocodile” kerana kejahatannya dan dituduh memantau pembunuhan etnik besar-besaran oleh tentera pada 1980-an dan keganasan pilihan raya 2008 ketika Mugabe berdepan risiko kehilangan undi. – AFP, 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen